Bekas banduan mengaku salah pecah rumah, ambil dadah - Utusan Malaysia

Bekas banduan mengaku salah pecah rumah, ambil dadah

MOHD. Fahmy Osman (depan) yang dituduh pecah rumah dan ambil dadah dibawa ke Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Seorang bekas banduan mengaku bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan memecah masuk rumah dan pengambilan dadah pada 2 Jun lalu.

Tertuduh, Mohd. Fahmy Osman, 29, yang juga ketua Geng Fahmy membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memecah masuk sebuah rumah di Kampung Pauh, Hulu Terengganu dan mencuri 29 barangan kemas berupa gelang emas, rantai, cincin, loket, ‘beads’ dan ‘charm’ emas serta wang tunai RM1,000 pada pukul 1 pagi, 2 Jun lalu.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memecah masuk sebuah rumah lain di Jalan Tanggol Butut, Hulu Terengganu dan mencuri 11 barangan kemas berupa gelang, loket dan cincin emas serta wang tunai berjumlah RM1,000 pada pukul 1 pagi, 28 Mei lalu.

Sementara itu, pertuduhan ketiga, Mohd. Fahmy turut dituduh memecah masuk sebuah rumah lain di Bukit Tok Bat, Hulu Terengganu dan mencuri dua bentuk cincin emas dan wang tunai berjumlah RM3,020 pada pukul 7.30 pagi, 9 Mei lalu.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Bekas banduan itu juga menghadapi satu lagi pertuduhan memasukkan dadah di badan badan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Majistret Engku Nurul Ain membenarkan Mohd. Fahmy dibebaskan dengan wang jaminan keseluruhan RM11,800 bagi kesemua empat pertuduhan.

Beliau juga menetapkan 25 Julai depan sebagai tarikh jatuh hukum bagi tiga pertuduhan memecah masuk di Mahkamah Majistret Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Selain itu, mahkamah menetapkan tarikh jatuh hukum bagi pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan pada 5 September depan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Othman Ibrahim  manakala tertuduh diwakili dua peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan iaitu, Nor Aziah Bunawan dan Siti Mastura Amirah Mohd. Idris.

Akhbar pada 7 Jun lalu melaporkan seorang bekas banduan yang baru dibebaskan dari penjara bagaikan tidak serik apabila membentuk kumpulan pecah rumah bersama kakak dan abang iparnya.

Mereka yang dikenali sebagai Geng Fahmy dipercayai aktif melakukan aktiviti memecah masuk rumah di daerah ini dan Hulu Terengganu dengan menjadikan barangan kemas dan wang tunai sebagai sasaran utama. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya