KUALA LUMPUR: Rakan Kongsi Urusan KPMG, Datuk Johan Idris merasakan dirinya `diugut’ oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar firma audit itu menandatangani laporan audit penyata kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tahun 2013.
Johan Idris
Pertemuan bersama Najib itu mengambil masa 45 minit itu yang mana hanya Johan dibenarkan masuk sebagai wakil tunggalnya, 1MDB manakala kakitangan firma audit yang lain menunggu di luar.
Turut hadir pada sesi tersebut ialah bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir dan bekas Pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin.
Saksi pendakwaan ke-14 itu berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram.
Sri Ram: Sebelum ini (sewaktu pemeriksaan balas) awak telah diminta untuk mengesahkan bahawa minit mesyuarat tidak menunjukkan terdapatnya tekanan daripada tertuduh (Najib) dan awak jawab ya, minit mesyuarat tidak menunjukkan sedemikian. Soalan saya, sebagai individu yang berada di mesyuarat tersebut, adakah terdapat sebarang tekanan pada awak?
Johan: Saya anggap ia sebagai ugutan.
Sri Ram: Ugut untuk apa?
Johan: Untuk membuat kesimpulan dan menandatangani laporan audit penyata kewangan bertarikh 31 Mac 2013 1MDB.
Sri Ram: Ugutan daripada siapa?
Johan: Datuk Seri Najib.
Sebaik sahaja saksi berkata demikian, peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib bangkit dan membantah tindakan saksi menggunakan perkataan ugut tersebut memandangkan perkataan terbabit tidak pernah timbul ketika sesi soal balas.
Mahkamah bagaimanapun memerintahkan pihak pembelaan agar menyentuh mengenai perkara tersebut dalam hujahan di akhir kes.
Najib, 68, kini sedang dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan yang didengar oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. –UTUSAN ONLINE