JOHOR BAHRU: Pemilik premis perniagaan warga Bangladesh dipenjara sehari dan denda RM10,000 setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memberi rasuah RM250 kepada Pegawai Penguatkuasa Gred N41, Januari lalu.
Tertuduh, Mostafa Mohammad, 34, mẹmbuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan, Mostafa memberikan suapan wang tunai RM250 kepada Pegawai Penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kedai runcit Nur Mostafa.
Tertuduh melakukan perbuatan itu setelah melanggar syarat-syarat lesen iaitu menjual arak tanpa lesen, menjual rokok tanpa cukai, membela ayam hidup untuk jualan dan meletakkan barang dagangan di kaki lima sehingga menimbulkan halangan.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Jabatan Penguatkuasaan MBIP kira-kira pukul 12 tengah hari, 19 Januari lalu.
Bagi perbuatan tersebut, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Lelaki itu boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika disabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd. Nor manakala tertuduh diwakili peguam, Hussin Othman.
Dalam rayuannya, Hussin memberitahu anak guamnya tidak mempunyai rekod lampau dan mempunyai tanggungan dua anak berusia tiga dan lima tahun manakala isterinya tidak bekerja. – UTUSAN