KUALA LUMPUR: Rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung sabitan salah dan hukuman penjara serta denda atas kesalahan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International akan diperdengarkan pada pertengahan Ogos ini.
Menurut surat yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan ditandatangani Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan bertarikh 29 April lalu, pendengaran itu ditetapkan selama 10 hari iaitu daripada 15 hingga 19 Ogos sebelum bersambung pada 22 hingga 26 Ogos ini.
Surat yang sama mengarahkan pihak-pihak yang terlibat dalam rayuan tersebut untuk memfailkan hujahan bertulis masing-masing berserta ikatan autoriti selewat-lewatnya 31 Julai ini.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Pada 8 Disember 2021, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib.
Pada 25 Januari lalu, peguam bela utama Ahli Parlimen Pekan itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sepucuk surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon agar Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.
Pasukan pembelaan Najib diarahkan untuk memfailkan permohonan untuk menerima masuk Queen’s Counsel (QC) sebagai peguam bela selewat-lewatnya pada 20 Mei ini. Pendengaran permohonan itu pula dijangka akan dibuat penghujung Jun ini.
Pada 15 Mac lalu, panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendengar rayuan Najib atas keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonannya untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan kes SRC tersebut.
Bukti baharu itu antaranya membabitkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.
Pada tarikh tersebut, Hakim Tengku Maimun bersidang bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh.
Panel terbabit sebulat suara menolak rayuan Najib berhubung kemasukan bukti baharu itu selepas mendapati ia tidak mempunyai sebarang merit dan tidak memenuhi peruntukan undang-undang. –UTUSAN ONLINE