KUALA LUMPUR: Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu majikannya itu bersama-sama keluarga beliau pernah bercuti di Itali dan selatan Perancis di atas kapal layar mewah atas jemputan beberapa kerabat diraja Asia Barat.
Menurut Datuk Wan Ahmad Shihab Ismail Wan Ismail Percutian tersebut turut disertai beberapa individu termasuk ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, kenalan bekas perdana menteri yang juga ahli perniagaan daripada Sarawak, itu, Tan Sri Bustari Yusuf, pengarah Aabar (Aabar Investments PJS Ltd) Mohamed Badawy Al-Husseiny.
Dalam salah satu percutian ke Nice, Perancis pada 4 Julai 2013, Wan Ahmad Shihab memaklumkan, anak tiri Najib, Riza Aziz dan produser filem Wolf of Wall Street, Joey McFarland turut menyertainya.
“Dalam tahun 2013, Jho Low telah menghubungi saya melalui aplikasi BBM (khidmat pesanan Blackberry) dan memberitahu saya bahawa DS Najib sekeluarga telah dijemput untuk bercuti di selatan Perancis di atas Yacht bernama Topaz milik Sheikh Mansour yang diberitahu kepada saya merupakan seorang Putera dari Abu Dhabi.
“Rombongan percutian Datuk Seri (DS) Najib sekeluarga telah bertolak dari London dengan menaiki pesawat milik kerajaan (ACJ 320) dan tiba di Lapangan Terbang Cote D’Azur, Nice, Perancis. DS Najib sebelum itu mempunyai lawatan kerja di London selepas itu daripada London, beliau terus terbang ke Perancis untuk percutian tersebut.
“Rombongan tersebut terdiri daripada DS Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Nooryana Najwa, Nor Ashman Razak, Daniyar Kessikbayev (menantu Najib) dan Kolonel Norhayati binti Hassan (Pegawai Pengiring Datin Seri Rosmah).
“Ketika rombongan DS Najib tiba, saya dan Robert Shepherd (pengurus kapal) menyambut beliau di Lapangan Terbang dan terus membawa mereka terus ke kapal Topaz. Pada petang hari kedua (5 Julai 2013), saya ternampak seorang pelakon Hollywood dan keluarganya turut berada di atas kapal tersebut tetapi mereka berada di bahagian kapal yang berasingan dengan kami,”kata saksi pendakwaan ke-16 itu.
Tambahnya, Shepherd memaklumkan pelakon tersebut juga merupakan tetamu putera Abu Dhabi, Sheikh Mansour untuk bercuti di atas kapal tersebut. Pelakon tersebut kemudian dikenalpasti sebagai Jamie Foxx iaitu salah seorang pelakon dalam filem Spider-Man: No Way Home.
Wan Ahmad Shihab berkata demikian ketika membaca penyataan saksinya dalam perbicaraan Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Selain percutian ke Nice, Najib sekeluarga juga pernah bercuti di atas kapal RM Elegence atas jemputan Putera Kuwait dan Syeikh Hamed pada 15 Ogos 2009 dan di atas kapal Golden Odyssey atas jemputan Putera Saudi yang tidak diingati namanya.
Tambah bekas pegawai khas itu, Najib dan keluarganya bersama-sama pegawai pengiring, pembantu (maid) dan household staff akan menaiki pesawat milik kerajaan untuk ke lokasi pertemuan sebelum dibawa ke kapal mewah tersebut.
Wan Ahmad Shihab juga memaklumkan bahawa tiada sebarang pembayaran dibuat untuk penginapan Najib dan rombongannya pada setiap percutian tersebut.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. –UTUSAN ONLINE