Mahkamah tolak permohonan Zahid dapatkan kenyataan saksi - Utusan Malaysia

Mahkamah tolak permohonan Zahid dapatkan kenyataan saksi

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan rakaman kenyataan 15 saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika membacakan penghakiman ringkasnya menyatakan, beliau perlu mengambil kira polisi dan kepentingan awam dalam membuat keputusan. 

“Sebarang pendedahan yang dibuat oleh saksi dalam keterangan mereka akan memprejudiskan dan menimbulkan rasa curiga dalam kalangan orang awam kerana keterangan tersebut dibuat dalam keadaan sulit. 

“Mendedahkan keterangan sulit itu akan menyebabkan bakal-bakal saksi keberatan untuk memberi keterangan dan boleh mengganggu siasatan pada masa hadapan,” kata hakim itu.

Selain itu, Hakim Sequerah berpendapat, walaupun pada peringkat bela diri, saksi-saksi yang dipanggil adalah untuk menyokong tertuduh, namun, masih terdapat kemungkinan saksi boleh diganggu gugat.

Pada 18 Februari lalu, pihak pembelaan yang mewakili Ahmad Zahid memfailkan permohonan untuk mendapatkan penyataan-penyataan saksi tersebut.

Antara penyataan saksi yang dimohon ialah rakaman kenyataan saksi Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi yang juga saudara kandung Ahmad Zahid kerana mempunyai kaitan dengan pertuduhan ke-11 dan tanpa dokumen itu, pembelaan dalam dilema sama ada akan memanggilnya sebagai saksi atau tidak.

Pada 24 Januari lalu, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Ahmad Zahid mula memberi keterangan bela diri secara bersumpah pada 13 April lalu dengan membacakan pernyataan saksinya setebal 27 muka surat.

Ahmad Zahid, 69, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi yang mana beliau merupakan pengasas dan pemegang amanahnya.

Tertuduh didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya