KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Alvin Goh Leong Yeong mengemukakan representasi berkaitan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak wangnya berjumlah RM60,232.01 serta wang milik dua syarikatnya.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, Jabatan Peguam Negara (AGC) memerlukan masa untuk meneliti representasi tersebut.
Sehubungan itu, pihaknya memohon pendengaran permohonan lucut hak yang sepatutnya didengar hari ini ditangguhkan, berikutan representasi yang dihantar oleh Alvin (responden) pada 8 April lalu.
“Pihak pendakwaan selaku pemohon menerima representasi berhubung cadangan penyelesaian kes itu. Bagaimanapun, saya perlu mendapatkan arahan lanjut daripada bahagian pendakwaan AGC,” katanya.
Peguam Loi Yap Loong yang mewakili ahli perniagaan itu mengesahkan perkara tersebut.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 21 Jun ini untuk pendengaran permohonan kes lucut hak itu.
Pada 29 September 2021, SPRM memfailkan notis usul bagi melucut hak wang milik Alvin berjumlah RM60,232.01 yang disimpan dalam tiga akaun banknya.
Permohonan itu turut melibatkan wang RM10,588.94 dan RM16,721.75, masing-masing milik Malaysian House of Internet Sdn. Bhd. dan Networld Computer (KL) Sdn. Bhd.
Permohonan itu difailkan atas alasan wang yang disita pada Disember 2020 dan Januari 2021 didakwa diperoleh melalui hasil daripada aktiviti haram iaitu perjudian secara dalam talian dan dagangan mata wang kripto tanpa lesen sah.
Ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).-UTUSAN ONLINE