Bicara Ahmad Zahid: ‘KJ’ dibangkitkan dalam prosiding  - Utusan Malaysia

Bicara Ahmad Zahid: ‘KJ’ dibangkitkan dalam prosiding 

AHMAD Zahid Hamidi berhadapan 40 pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan syarikat UKSB di Mahkamah Tinggi di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Nama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar sekali lagi dibangkitkan dalam perbicaraan kes rasuah melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi hari ini. 

Khairy Jamaludin dikatakan disebut dalam buku ‘faraid’ sebagai ‘KJ’ selain perkataan ‘bomoh’ dalam keterangan saksi pendakwaan, Harry Lee Vui Khiun yang merupakan bekas pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd  (UKSB). 

Buku tersebut didakwa merupakan lejar yang mencatatkan laporan keluar masuk wang daripada UKSB serta senarai nama penerima dana daripada syarikat tersebut yang dipegang oleh pengarahnya. 

Selain itu, terdapat nama-nama lain turut dikatakan tercatat dalam buku tersebut seperti ‘AK’ yang merujuk kepada Akbar Khan iaitu Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan ‘FM’ sebagai Foreign Minister (Menteri Luar Negeri). 

Bagaimanapun, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Yazid Mustafa, Harry Lee yang merupakan saksi pendakwaan ke-15 memberitahu tidak dapat memastikan jika perkataan ‘KJ’ itu merujuk kepada bekas Menteri Belia dan Sukan itu serta nama-nama lain ketika disoal peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal. 

Namun, beliau mengesahkan terdapat perkataan ‘KJ’ tercatat dalam buku tersebut. 

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-10, Datuk Shahril Ismail ketika hadir ke mahkamah mengaku menerima wang tunai sebanyak 26,000 Riyal daripada Pengarah UKSB, Wan Qurois Shah Wan Abdul Ghani seperti tercatat dalam buku berkenaan. 

Beliau yang juga bekas Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen di Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui nama Ahli Parlimen Rembau itu dicatat bersama perkataan RM100,000. 

Malah Shahril ketika memberi kesaksian pada 1 April lalu turut mengakui terdapat nama-nama besar termasuk ‘FM’ pada buku tersebut. 

Hakim Mohd. Yazid menangguhkan perbicaraan sebelum menetapkan 30 Mei untuk meneruskan prosiding.

Bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berdepan 33 pertuduhan berjumlah 13.56 juta Dolar Singapura daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya melanjutkan kontrak pengendali Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta mengekalkan kontrak perjanjian membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). 

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SGD 1,150,000, RM3 juta, 15,500 Euro dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya