KUALA LUMPUR: Datuk Peter Anthony bertindak berani memperdaya Datuk Seri Najib Tun Razak dan pengurusan tertinggi Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan `merampas’ kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di universiti itu yang telah diberikan kepada sebuah syarikat lain.
Kontrak hampir RM25 juta itu pada asalnya tidak diberikan kepada Asli Jati Engineering Sdn. Bhd. milik Peter, sebaliknya diserahkan kepada REMT Utama Sdn. Bhd. (REMT) melalui tender terbuka.
Bagaimanapun, projek itu kemudian diberikan kepada syarikat Peter selepas beliau memohon kepada Najib selaku Menteri Kewangan ketika itu melalui surat sokongan menggunakan kepala surat Timbalan Naib Canselor (TNC) UMS.
Surat sokongan itu bagi mendapatkan projek kerja-kerja operasi dan penyelengaraan sistem mekanikal dan elektrikal di Bangunan Fasa 2b, Bangunan dan Infra di Kampus Induk, Sekolah Pertanian Lestari, Pusat Rawatan Luar Sikuati Kudat dan bangunan lain, UMS.
Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah menghujahkan, tindakan tertuduh memalsukan surat TNC hampir menyebabkan UMS mengalami kerugian besar apabila kelulusan projek itu diberikan kepada Asli Jati Engineering milik Peter.
Pihak pendakwaan menghujahkan, ketika kelulusan diberi, Najib tidak mengetahui projek berkenaan telah diberikan kepada REMT melalui tender terbuka.
Selain Najib, turut diperdaya ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shariff Abdul Kadir S. Omang (SP8) dan Pendaftar UMS, Lt. Kol (K) Datuk Abdullah Mohd. Said (SP9).
Hujah beliau, REMT ketika itu sedang melaksanakan kerja-kerja berkaitan projek dan UMS menyedari sekiranya kontrak sedia ada dengan REMT dibatalkan, UMS terdedah kepada tindakan undang-undang dan boleh disaman jutaan ringgit.
“Tertuduh sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan projek tersebut tanpa mengambil kira akibat dan implikasi terhadap individu lain. SP8 terpaksa meletak jawatan sebagai TNC UMS.
“Walaupun projek tersebut akhirnya dibatalkan kemudian oleh Najib, namun apa yang harus diberi penekanan adalah tertuduh sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkannya,” ujar pendakwa.
Haresh berhujah, tindakan Peter turut menyebabkan SP9 yang berjawatan Pendaftar UMS dipindahkan ke Syarikat ULINK Property yang merupakan anak syarikat UMS.
Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dalam lingkungan tiga dan lima tahun dan denda di antara RM30,000 dan RM50,000.
Haresh menyatakan demikian ketika menyampaikan hujahan pemberatan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Peter.
Sementara itu, peguam S. Devanandan yang mewakili Peter berhujah agar mahkamah mengenakan hukuman seringan-ringannya terhadap tertuduh kerana anak guamnya telah memberi kerjasama sehingga akhir perbicaraan.
Pihak pembelaan turut memohon mahkamah mempertimbang bahawa Asli Jati Engineering milik Peter telah banyak membantu ratusan pelajar kurang berkemampuan di UMS.
Ujar Devanandan, anak guamnya seorang pemimpin parti politik dan mempunyai reputasi sempurna dalam kalangan masyarakat.
Selepas hukuman dijatuhkan, peguam bela memohon denda RM50,000 ditangguhkan pembayarannya sehingga minggu hadapan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan itu atas alasan tiada keadaan istimewa yang mewajarkan mahkamah membenarkan penangguhan.
Hakim Azura Alwi membenarkan pelaksanaan hukuman penjara tiga tahun ditangguhkan sementara menunggu rayuan dilupuskan manakala denda RM50,000 perlu dijelaskan hari ini. Mahkamah membenarkan Peter diikat jamin RM50,000.
Mengikut pertuduhan, Peter, 51, sebagai Pengarah Urusan Asli Jati Engineering, didakwa memalsukan surat pejabat TNC UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014. – UTUSAN