Zahid saman Dr. Mahathir dakwa difitnah isu campur tangan kes mahkamah - Utusan Malaysia

Zahid saman Dr. Mahathir dakwa difitnah isu campur tangan kes mahkamah

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memfailkan saman fitnah terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung dakwaan beliau meminta bekas Perdana Menteri itu mencampuri urusan kes yang sedang dihadapinya di mahkamah.

Ahmad Zahid, 69, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq di Mahkamah Tinggi di sini minggu lalu dengan menamakan Dr. Mahathir, 97, sebagai defendan tunggal manakala notis tuntutan dihantar pada 25 April lalu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh menerusi carian sistem mahkamah, Ahmad Zahid berkata, pada 19 Oktober 2018, beliau telah dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram.

Ujarnya, kesemua pertuduhan tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini.

Namun Presiden UMNO berkata, pada 23 Februari lalu, Dr. Mahathir telah mengeluarkan kenyataan palsu dan disifatkan berbaur fitnah dengan niat jahat merujuk secara terus kepada plaintif.

Menurutnya, kenyataan itu dibuat dalam suatu Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Ujar Ahmad Zahid, Dr. Mahathir memfitnah beliau pernah hadir di rumahnya bersama beberapa individu lain bagi mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapinya.

Ahmad Zahid berkata, pada hari yang sama, rakaman video majlis berdurasi 56 minit dan 46 saat itu telah diterbitkan secara langsung di Akaun Youtube Astro Awani.

Rakaman kenyataan palsu defendan itu katanya, telah diterbitkan oleh pelbagai portal berita antaranya Tiktok MalaysiaGazette TV, Berita Harian Online, Malaysia Now dan The Malaysian Reserve.

Dakwa plaintif, setakat tarikh writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan, rakaman video majlis tersebut telah mendapat jumlah tontonan sebanyak 23,443 kali dengan akaun Youtube Astro Awani mempunyai 1.44 juta pelanggan.

Ahmad Zahid berkata, kenyataan palsu tersebut jelas memfitnah dan telah mencederakan reputasinya pada mata masyarakat.

“Ia tidak benar, tidak berasas, dan berniat jahat (untrue, unwarranted, unsubstantiated and mischievous), Dr. Mahathir tiada sebarang alasan munasabah untuk memutuskan bahawa kenyataan itu adalah benar.

“Kenyataan itu menunjukkan bahawa saya menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguh perbicaraan jenayah yang masih berjalan,” kata Ahmad Zahid.

Justeru itu beliau berkata, pihaknya memohon satu perintah injunksi interim mengarahkan defendan menulis kepada portal berita dalam talian serta platform sosial media yang lain, dari tarikh perintah dibuat.

Selain itu beliau turut menuntut ganti rugi teruk, teladan dan am serta kos tindakan itu daripada defendan.

Sementara itu, peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid ketika dihubungi pihak media berkata, hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris yang dijalankan secara dalam talian.

Menurutnya, pendengaran permohonan inter-parte pula akan didengar pada 17 Jun ini di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff melalui sidang video.

Saman tersebut merupakan tindakan undang-undang kedua yang difailkan oleh Ahmad Zahid terhadap pemimpin parti politik berhubung isu sama.

Pada 5 April lalu, Presiden UMNO menfailkan saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan beliau meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.

Pada 23 Februari lalu, Dr. Mahathir dalam sidang medianya mengakui pernah didatangi Ahmad Zahid meminta bantuan untuk membebaskan dirinya daripada pendakwaan rasuah di mahkamah. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya