KUALA LUMPUR: Pemuda yang sebelum ini terpotong kepala zakar ketika bersunat 12 tahun lalu mendapat ganti rugi RM3.1 juta selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan tuntutan samannya terhadap lima entiti termasuk Kerajaan Malaysia.
Ganti rugi tersebut dibuat oleh Hakim Datuk Akhtar Tahir pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian selepas memutuskan bahawa kesemua defendan telah melakukan kecuaian terhadap keadaan yang dialami oleh pemuda itu selaku plaintif.
Mahkamah membenarkan tuntutan ganti rugi khas sebanyak RM108,356, ganti rugi am RM2 juta, ganti rugi teruk RM500,000, ganti rugi teladan RM500,000 dan kos RM100,000 dibayar kepada plaintif oleh kesemua defendan.
Peguam Mohamad Zainuddin Abu Bakar yang mewakili plaintif dan Peguam Persekutuan, Saravanan Kuppusamy yang mewakili defendan ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Saravanan turut memberitahu, pihaknya akan mendapatkan arahan lanjut sama ada akan merayu terhadap keputusan itu.
Saman tersebut difailkan pada 1o Julai 2018 oleh lelaki berkenaan melalui ibunya selaku plaintif (mangsa berusia 18 tahun ketika saman difailkan) dengan menamakan Kerajaan Malaysia; Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang; Pengarah Hospital; doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor.
Turut dinamakan sebagai defendan sebelum ini ialah pembantu perubatan yang melakukan proses berkhatan itu namun, saman terhadap kakitangan hospital Kuala Lipis itu selesai sekitar 2019 selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikannya di luar mahkamah.
Pada 20 Februari 2019, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan defendan-defendan untuk membatalkan saman itu.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 20 Februari 2020 mengarahkan kes itu dibicarakan selepas membenarkan rayuan plaintif untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.
Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan sebelum ini, insiden malang tersebut berlaku di sebuah premis kediaman di Kuala Lipis ketika lelaki itu berusia 10 tahun yang mana keseluruhan kepala zakar mangsa terpotong dan penyambungan semula tidak dilakukan tanpa mengikut prosedur yang betul.
Plaintif mendakwa, anaknya kemudian dibawa ke Hospital Selayang bagi prosedur pembedahan menyambung semula kepala alat sulit dengan penutup getah diletakkan pada kepala zakar.
Selepas masuk hari ke-35, plaintif berkata beliau terperanjat selepas mendapati kepala alat sulit anaknya tidak ada lagi pada batang zakarnya.
Akibat kecacatan kekal itu, plaintif yang ketika kejadian berusia 10 tahun telah berubah sikap menjadi amat pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya. –UTUSAN ONLINE