KUALA LUMPUR: Hanya kerana marahkan seekor kucing yang memakan ayam peliharaannya, seorang pesara polis didenda RM6,500 oleh Mahkamah Majistret Selayang dekat sini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menembak mati haiwan berkenaan.
Pada 16 Disember 2021, tertuduh, Zainol Abidin Md. Zain, 64, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan tersebut, namun, menukar pengakuannya kepada bersalah pada sebutan kes berkenaan hari ini.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tujuh anak itu didakwa melakukan khianat dengan membunuh seekor kucing dengan menembaknya menggunakan senapang patah kira-kira pukul 6.40 petang, 1 Julai 2020 di kebunnya di Kuang dekat sini.
Bagi dakwaan ini, pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Pada masa, tarikh dan tempat sama, warga emas itu juga didakwa melepaskan tembakan di tempat awam tanpa sebarang sebab yang dibenarkan oleh undang-undang dan dituduh mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Pertuduhan tersebut memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 43 akta sama iaitu hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu ketika mengemukakan rayuan, peguam bela, Azman Abdullah yang mewakili Zainol Abidin memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman yang ringan atas alasan tertuduh bertindak menembak kucing itu kerana haiwan tersebut telah memakan ayam jantan tertuduh.
“Pelbagai cara telah dilakukan bagi mengelak kucing tersebut memakan ayam tertuduh. Pada hari kejadian selepas tertuduh menembak kucing itu, tertuduh sendiri telah menanam kucing tersebut,” kata peguam itu.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azhar memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana tindakan menembak kucing tersebut adalah tidak wajar memandangkan kucing bukanlah seekor haiwan yang merbahaya.
Majistret Nik Fadli Nik Azlan selepas mempertimbangkan rayuan dan hujah kedua-dua pihak menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan manakala bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau penjara dua bulan.
Gagal membayar jumlah denda, hukuman penjara terhadap pesara polis itu boleh ditambah lagi lapan bulan. Tertuduh membayar denda tersebut. –UTUSAN ONLINE