Subsidi diteruskan walaupun kos haji meningkat - Utusan Malaysia

Subsidi diteruskan walaupun kos haji meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan pemberian subsidi kepada jemaah akan diteruskan meskipun kos menunaikan haji tahun ini dijangka meningkat hingga RM25,000.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, perbincangan lanjut akan dilakukan bersama Lembaga Tabung Haji (TH) sebelum kadar kos bayaran yang akan ditanggung jemaah ditentukan.

“Nanti kita akan umumkan (kos), malah (kuota haji) semua negara belum diumumkan lagi, sepatutnya (Arab Saudi) maklumkan sebelum Ramadan, tapi mungkin ada perkara yang perlu diselesaikan dahulu, kita tunggu. 

“Subsidi akan tetap kita bagi, namun, tidak boleh umum lagi, kita akan bincang dengan TH dalam masa terdekat, nanti akan diputuskan Kabinet dan diumum kemudian,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan 2022 di Hospital Putrajaya di sini hari ini. 

Lembaga Tabung Haji (TH) semalam dilaporkan menjangkakan kos untuk jemaah Muassasah menunaikan ibadat haji pada tahun ini (1443H/2022M) akan meningkat kepada lebih RM25,000 untuk seorang. 

Perkara itu susulan peningkatan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.

Untuk rekod, kos untuk mengerjakan haji bagi jemaah Muassasah pada 2019 ialah RM22,900.

Peningkatan 12 peratus itu mengambil kira peningkatan Cukai Tambah Nilai yang dinaikkan daripada lima peratus kepada 15 peratus dan beberapa caj perkhidmatan tambahan. 

Ini tidak mengambil kira pelbagai peningkatan kos dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang akan dilaksanakan tahun ini. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya