Rayuan akhir Najib hanya didengar selepas permohonan QC - Utusan Malaysia

Rayuan akhir Najib hanya didengar selepas permohonan QC

Najib Tun Razak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tarikh pendengaran rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung sabitan salah serta hukuman yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan penyelewengan dana RM42 juta syarikat SRC International Sdn. Bhd. hanya akan ditetapkan selepas permohonannya untuk mendapatkan khidmat peguam kanan dari United Kingdom diputuskan secara muktamad.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul ketika dihubungi media selepas pengurusan kes itu di hadapan Timbalan-Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Siti Hajar Mustaffa dan Wan Fatimah Zaharah Wan Yussof yang dijalankan secara dalam talian.

Mohd. Ashrof memberitahu, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pihaknya akan memfailkan permohonan untuk mendapatkan khidmat Queen’s Counsel (QC) itu pada penghujung Mei ini.

“Sekiranya permohonan yang akan didengar di Mahkamah Tinggi tidak berjaya, pihak pembelaan memaklumkan mereka akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan,”katanya.

Tambahnya, pihak pembelaan juga perlu memaklumkan mahkamah tarikh sesuai untuk QC hadir bagi mendengar rayuan akhir tersebut.

Pada 25 Januari lalu, peguam bela utama Ahli Parlimen Pekan itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sepucuk surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon agar Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.

Menurut Muhammad Shafee permohonan tersebut dibuat atas dakwaan QC mempunyai lebih berpengalaman untuk mengendali rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan sangat kompleks dan melibatkan isu-isu perundangan yang baru.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Pada 8 Disember 2020, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib.

Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana tersebut atas alasan tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima.

Bukti baharu yang cuba dimasukkan dalam rayuan tersebut membabitkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya