Pihak pendakwaan kes Rosmah mahu fail hujahan tambahan - Utusan Malaysia

Pihak pendakwaan kes Rosmah mahu fail hujahan tambahan

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan pendakwaan untuk memfailkan hujahan tambahan dalam kes isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang dibicarakan di atas tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak. 

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn kepada pemberita selepas prosiding kes tersebut berlangsung di dalam kamar Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang turut dihadiri peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader.

Mahkamah sepatutnya hari ini dijadualkan mendengar pihak pembelaan dan pendakwaan membuat hujahan lisan sebelum tarikh ditetapkan untuk keputusan sama ada Rosmah disabitkan bersalah atau sebaliknya.

Bagaimanapun pihak pendakwaan mahu memfailkan hujahan tambahan pada 22 April manakala 12 Mei untuk pembelaan menjawab hujahan itu.

Pada 23 Februari lalu, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil dua saksi, Rosmah dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

Pada 17 Februari 2021, Rosmah diperintah membela diri terhadap tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap membabitkan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua dakwaan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd ketika itu, Saidi Abang Samsuddin.

Rasuah itu didakwa diterima melalui bekas Pegawai Khas beliau, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya