Pendakwaan kekal hujah berlaku pembunuhan - Utusan Malaysia

Pendakwaan kekal hujah berlaku pembunuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pihak pendakwaan mengekalkan hujah berlaku pembunuhan dalam kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazri Hassan yang didakwa terjadi sebelum bilik tetamu dekat rumahnya di Mutiara Damansara terbakar.

Mahkamah Tinggi di sini diberitahu terdapat pelbagai elemen penemuan petunjuk terhadap kejadian tersebut diperoleh menerusi penyataan saksi pendakwaan (SP) seperti Pegawai Penyiasat Bahagian Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Abdul Halim Zulkefli (SP15) dan Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Edwin Anak Teruki (SP20).

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanipah, mendakwa situasi yang berlaku di lokasi kejadian adalah rekaan kerana kebakaran tersebut merupakan sesuatu yang dirancang oleh tertuduh Samirah Muzaffar, 47, dan dua remaja berusia 16 dan 19 tahun.

Di hadapan Hakim Ab. Karim Ab. Rahman, beliau berkata, hujahan tersebut adalah berdasarkan kepada fakta seperti telefon Blackberry S2 tidak meletup dan ‘overcharging’, kebakaran tidak sekata serta terdapat ‘irregular patern’ pada dinding dan kewujudan tiga tempat punca kebakaran.

Selain itu, pernyataan saksi Pegawai Sains, Makmal Siasatan Kebakaran, Bahagian Siasatan JBPM, Aznor Sheda Shamsuddin (SP14) mengesahkan terdapat kesan petrol pada tiga sampel pada bahagian kepala si mati (C), katil terbakar berdekatan telefon bimbit (D) dan dinding di bahagian kepala katil (E).

“Hasil x-ray yang dilakukan di hadapan SP15, tiada kesan letupan berlaku pada telefon berkenaan, segala komponen litar dalam telefon masih dalam keadaan baik dan bentuk komponen yang ada masih dalam keadaan baik.

“Telefon Blackberry S2 itu seterusnya dianalisa oleh Pegawai Turut Persenjataan/Komander UPB Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Superintenden Mohd. Sa’ad Mat Nasib (SP35) yang mendapati 90 peratus telefon itu terbakar berdasarkan kesan dan bau sementara baterinya masih berada di dalam,” katanya dalam hujahan peringkat akhir pendakwaan.

Tambahnya, pihak pendakwaan juga menghujahkan bahawa tidak terdapat kemungkinan bahawa terdapat letupan daripada ‘powerbank’. 

Samirah bersama dua remaja sebelum ini dihadapkan ke mahkamah, bekas pembantu rumahnya seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, didakwa membunuh arwah suaminya dekat kediamannya antara pukul 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokan harinya.

Kata Mohd. Asnawi, Nazrin, 47, juga disahkan oleh pakar patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr. Siew Sheue Feng (SP46) meninggal dunia sebelum kebakaran kerana tidak wujud sebarang kesan akibat insiden itu pada salur pernafasannya.

“Keterangan saksi-saksi pendakwaan terutamanya SP15 juga menyatakan tiada tanda-tanda si mati cuba menyelamatkan diri atau bersembunyi, memang berada di situ sebelum kebakaran.”

“Malah Abdul Halim turut menjelaskan jika si mati cuba menyelamatkan diri kedudukannya akan berada di kawasan yang jauh daripada kebakaran tetapi dalam kes ini, dia berada pada tempat kebakaran bermula. Fakta si mati meninggal sebelum kebakaran adalah tidak dipertikaikan,” jelasnya.

Tambahnya, pengawal keselamatan, Raju Kumar Pandit (SP4) memaklumkan tertuduh belum menghubungi bomba sebelum dia sendiri menggunakan telefon bimbit yang dibekalkan majikannya untuk membuat panggilan berkenaan dan ‘conduct’ itu didakwa relevan di bawah Seksyen 8 Akta Keterangan 1964.

Dalam pada itu, Mohd. Asnawi turut mempertahankan kewibawaan saksi, Dr. Siew dan pakar patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Prashant Sanberker tidak boleh dipertikaikan atas dasar maklumat yang diberikan saling melengkapi.

“Yang arif, saya menghujahkan keterangan yang diberikan oleh SP46 kena dibaca bersama SP50. SP50 walaupun tidak nampak fresh body dan kebanyakannya berdasarkan laporan yang awal, tetapi mengapa kita tak boleh terima keterangannya.

“Kenapa kita hendak kata beliau (Dr. Siew) berat sebelah. Beliau kembali kepada Dr. Prashant di PPUM, bukannya memilih untuk mengikut apa yang bomba laporkan. Beliau membuat analisa seperti mana (tugas dan kepakarannya),” ujarnya.

Ab. Karim kemudian menetapkan hujahan bersambung pada 13 April, Rabu depan.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan pasukan pembelaan menyifatkan hujah pendakwaan tidak mempunyai motif jelas dan kenyataan daripada 57 saksinya tidak memberi petunjuk untuk mensabitkan tertuduh dan dua remaja terhadap pembunuhan Nazrin. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya