Menangis suami bebas hukuman gantung - Utusan Malaysia

Menangis suami bebas hukuman gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang wanita menangis teresak-esak sehingga terpaksa ditenangkan oleh bapa mentuanya selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini melepas dan membebaskan suaminya daripada kesalahan mengedar dadah sekaligus membatalkan hukuman gantung sampai mati yang dikenakan terhadap bekas pekerja bengkel membaiki sofa itu.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said dan bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah sebulat suara memutuskan untuk membebaskan Ahmad Kamil Anuar, 37, daripada pertuduhan tersebut selepas mendapati Mahkamah Tinggi telah terkhilaf ketika mensabitkan lelaki berkaitan dengan kesalahan mengedar dadah itu.

“Kami mendapati memang terdapat kekhilafan dari segi fakta dan undang-undang di Mahkamah Tinggi. Kami berpuas hati sabitan terhadap tertuduh adalah tidak selamat untuk dikekalkan. Oleh itu, sabitan diketepikan dan perayu dilepaskan dan dibebaskan,”kata Hakim Kamaludin ketika membaca penghakiman ringkasnya.

Sebaik sahaja mahkamah berhenti bersidang, bapa Ahmad Kamil yang turut dilihat menangis mendekati anaknya sambil menggosok kepala lelaki itu dengan lembut sebelum pergi ke arah menantunya dan menenangkan wanita tersebut.

Pada 28 September 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Ahmad Kamil selepas dia didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis dengan berat kasar 1.6 kilogram pada pukul 3.45 petang, 7 Oktober 2018 di sebuah pangsapuri di Wangsa Maju. 

Lelaki terbabit telah berada dalam reman sejak ditahan pada 7 Oktober 2018.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati.

Terdahulu, ketika mengemukakan rayuan, peguam bela, Ahmad Zaharil Muhaiyar menghujahkan, Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila gagal mengambil kira bahawa pegawai penyiasat kes tidak menjalankan penyiasatan menyeluruh dan konklusif.

“Sewaktu perbicaraan, ketika ditanya kenapa tidak membuat ujian cap jari pada barang kes, pegawai penyiasat boleh menjawab buang masa.

“Alasan yang diberikan oleh pegawai penyiasat adalah amat mendukacitakan apabila beliau menyatakan permohonan tidak dibuat adalah untuk menjimatkan masa,”kata peguam itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abdul Karim @ Husaini. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya