Dua sahabat bakal ke tali gantung, bunuh gelandangan - Utusan Malaysia

Dua sahabat bakal ke tali gantung, bunuh gelandangan

MUHAMMAD ALIFF DANIEL Ong Abdullah (dua dari kanan) dan Joel V. Michael Louis (dua dari kiri) diiring anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua sahabat berdepan hukuman gantung selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang gelandangan, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Muhammad Aliff Daniel Ong Abdullah dan Joel V. Michael Louis masing-masing berusia 20 tahun selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara bersama-sama telah melakukan bunuh sehingga menyebabkan kematian Mohd. Eddie Hafiez Yusof, 42.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan kedai di Jalan Persisiran Bungai Raya, dalam daerah Melaka Tengah di sini di antara pukul 1 pagi hingga 3.45 pagi, 15 Mac lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon tarikh sebutan semula bagi serahan laporan bedah siasat. 

Peguam Andrew Lourdes yang mewakili Muhammad Aliff Daniel Ong dan Amritpal Singh mewakili Joel bagaimanapun merayu agar mahkamah dapat memberikan tarikh sebutan yang singkat bagi memendekkan tempoh penahanan. 

Kedua-dua mereka turut merayu agar kes dapat dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dalam kadar segera dengan alasan pihak polis tidak membenarkan peguam bela berjumpa dengan anak guam masing-masing sejak direman. 

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan tarikh 26 April ini untuk serahan laporan bedah siasat. 

Terdahulu, Utusan Malaysia pada 15 Mac melaporkan, seorang gelandangan dipercayai dipukul di Jalan Pesisiran Bunga Raya di sini sehingga organ dalamannya pecah, mengalami pendarahan dalam kepala dan bibir koyak. 

Mangsa yang berusia lingkungan 40-an ditemukan orang awam di kaki lima dalam keadaan berlumuran darah kira-kira pukul 7.20 pagi. 

Lelaki itu dilaporkan koma selama tiga hari sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka pada 18 Mac lalu. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya