MELAKA: Seorang bapa tunggal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 26 pertuduhan menipu pembelian lampin bayi membabitkan nilai kerugian RM838,474, enam tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Azizie Wahab, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja 26 pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan satu hingga 26, tertuduh didakwa telah menipu Suriana Hussain, 37, dalam urusan pembelian lampin pakai buang sehingga mendorong mangsa membuat pembayaran berjumlah keseluruhan RM838,474.
Pembayaran itu dibuat mangsa di cawangan Ambank dan Maybank dalam daerah Melaka Tengah menerusi 26 transaksi ke dalam dua akaun bank yang didaftarkan di bawah syarikat milik tertuduh iaitu GCR Recovery Enterprise serta AE Premier Niaga antara 19 Mei sehingga 11 Jun 2016.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan bolehlah juga dikenakan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Peguam yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jumlah itu dikurangkan kepada RM1,000 dengan alasan keluarga anak guamnya hanya mempunyai wang jaminan sebanyak RM30,000, malah tidak mengetahui bahawa tertuduh dihadapkan dengan 26 pertuduhan.
Tambahnya, tertuduh juga hanya bekerja sebagai peniaga lampin bayi dengan pendapatan RM3,000 sebulan dan perlu menyara tiga orang anak masih kecil, selain ibu bapa yang uzur.
Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM78,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 19 Mei sebagai sebutan semula kes. –UTUSAN ONLINE