KUALA LUMPUR: Balu Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis telah memfailkan permohonan untuk meminda penyataan tuntutannya berhubung harta sepencarian bernilai kira-kira RM1 bilion di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.
Permohonan yang difailkan pada 25 Mac lalu ditetapkan untuk pendengaran pada 17 Mei ini.
Menurut peguam syarie, Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Puan Seri Dr. Kalsom Ismail pindaan yang ingin dibuat membabitkan beberapa aset termasuk hartanah yang tidak didedahkan kepada media.
Bagaimanapun, peguam syarie, Nur Hidayah A. Bakar yang mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah, 88, ketika ditemui memberitahu antara pindaan yang ingin dibuat pada penyataan tuntutan itu membabitkan hartanah di Boston, Amerika Syarikat.
“Selain itu, plaintif (Kalsom) ingin memasukkan saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan arwah (Jamaludin) semasa sakit kaki dan memasukan isu berkaitan tanah di Selangor,” katanya.
Kalsom selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian pada Oktober 2018 dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla, dan Aminah sebagai defendan.
Antara tuntutan harta sepencarian itu ialah hartanah di Malaysia dan luar negara serta beberapa saham dalam syarikat.
Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang ketika itu berusia 64 tahun, bersama-sama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada pukul 4.55 petang.
Turut maut juruterbangnya, Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pengawal peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. -UTUSAN ONLINE