KUALA LUMPUR: Tiga individu termasuk seorang pengarah syarikat hartanah bergelar Datuk Seri didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan bersubahat berhubung wang sewa unit pejabat berjumlah RM52,000, Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun ketiga-tiga tertuduh iaitu Datuk Seri Chua Eng Wan, 48, dan dua lagi individu iaitu Chua Jia Meng, 24, dan Teh Guat Wei, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman dan Hakim Kamarudin Kamsun.
Di hadapan Sabariah, Eng Wan sebagai pengarah sebuah syarikat hartanah didakwa pecah amanah wang berjumlah RM52,000 yang merupakan wang sewa sebuah unit pejabat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Desa Park City, Kepong pada 11 Oktober 2021.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Di hadapan Kamarudin pula, Jia Meng dan Guat Wei masing-masing didakwa bersubahat dengan Eng Wan melakukan pecah amanah terhadap harta serupa pada tempat dan tarikh sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama.
Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Ishak dan Zulaaikha Mohd. Apandi manakala semua tertuduh diwakili peguam Felix Saw Chia Hui.
Mahkamah kemudian membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 14 April dan 20 April ini untuk sebutan kes. –UTUSAN ONLINE