MELAKA: Suasana di Mahkamah Sesyen di sini hari ini diselubungi pilu apabila ahli keluarga kepada tiga beradik yang didakwa atas kesalahan memiliki dadah, menangis sambil berpelukan selepas prosiding.
Tertuduh, Shahrizal Sahar, 28, membuat pengakuan bersalah manakala abangnya, Shaharudin, 36, dan adik, Syukri, 22, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan pindaan, Shahrizal bersama-sama abang dan adiknya didakwa memiliki 53.23 gram kanabis kira-kira pukul 3 petang di sebuah rumah di Taman Desa Duyong, 8 Februari lalu.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Shahrizal yang tidak diwakili peguam hanya merayu agar abang serta adiknya dibebaskan dengan menyatakan kedua-duanya tidak mengetahui mengenai dadah tersebut dan menjadi mangsa keadaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim bagaimanapun memohon agar hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira berat dadah.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan 10 sebatan terhadap Shahrizal bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 8 Februari lalu.
Beliau kemudian menetapkan tarikh 14 April depan bagi sebutan semula kes Shaharudin dan Syukri.
Sementara itu, ahli keluarga tertuduh dilihat menangis sambil berpelukan ketika bercakap dengan ketiga-tiga tertuduh selepas prosiding kes selesai. –UTUSAN ONLINE