KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai atasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diasak secara bertubi-tubi di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung gaya hidup mewah ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) yang didakwa mempunyai kaitan dengan penyelewengan dana syarikat itu.
Kehidupan peribadi Jho Low itu termasuk berparti di atas kapal mewah bersama selebriti terkenal termasuk pelakon Miranda Kerr dan Paris Hilton dan pembelian `penthouse’ mewah di Singapura yang dilaporkan oleh pihak media.
Bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir berkata, beliau tidak mencurigai gaya hidup mewah Jho Low kerana perkara itu merupakan hak peribadi dan hanya menyedarinya sekitar tahun 2016 selepas beliau tidak lagi berkhidmat dengan 1MDB.
Ketika ditanya secara bertalu-talu oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, saksi berkata, beliau hanya beranggapan Jho Low sebagai wakil syarikat dan kehidupannya tiada kaitan dengan urus tadbir 1MDB.
Suasana dalam kamar bicara menjadi sedikit tegang apabila saksi pendakwaan ke-12 itu tidak berpuas hati dengan cara Muhammad Shafee menyoal balas yang disifatkan tidak adil terhadap dirinya.
Peguam bela sebelum itu bertanya mengapa Azmi tidak mempersoal gaya hidup Jho Low yang disifatkan sebagai `pengarah bayangan’ dalam 1MDB, walhal syarikat itu semakin merudum.
Shafee: “Ya, gaya hidup mewah adalah hak peribadi Jho Low tetapi 1MDB semakin meruncing. Jika syarikat itu ditadbir dengan baik, tidak mengapa. Kalau dia (Jho Low) minum champagne dan kaki perempuan, tiada masalah tetapi 1MDB semakin ketandusan wang, kamu tidak mempersoalkannya?”
Azmi: “Gaya hidup Jho Low dan peranannya dalam 1MDB adalah dua perkara berbeza. Saya hanya mengambil peduli berhubung penipuan transaksi wang dalam 1MDB.”
Azmi, 49, memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Selain gaya hidup mewah, mahkamah turut diberitahu sebanyak AS$130 juta wang 1MDB dipindahkan ke dalam akaun syarikat Blackstone milik Jho Low pada Julai 2012.
Menjawab soalan Muhammad Shafee, Azmi menyatakan beliau tidak mengetahui perkara tersebut meskipun peguam bela menyatakan laporan mengenainya telah diketahui umum.
Beberapa transaksi lagi dipindahkan ke dalam akaun syarikat Capital Place Holdings yang dimiliki oleh Judy Chan yang merupakan bekas isteri bekas Pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara, Tim Leissner.
Muhammad Shafee turut menyatakan, sejumlah AS$576.9 juta telah diseleweng daripada 1MDB Energy manakala lebih daripada AS$400 juta dipindahkan ke dalam Blackstone.
Sewaktu dirujuk dengan carta aliran wang dalam 1MDB, Azmi menyatakan, bekas Perdana Menteri tidak menerima sebarang pemindahan wang manakala pihak yang mendapat faedah daripada penipuan itu adalah Aabar Investments PJS Ltd. dan Jho Low.
Mahkamah diberitahu, daripada AS$1.75 bilion yang dibayar kepada 1MDB Energy Ltd pada 2012, sebanyak AS$907.5 juta telah dipindahkan.
Ketika ditanya berhubung pembelian kapal layar mewah `Equanimity’, saksi menyatakan tidak tahu menahu berhubung perkara itu dan lembaga pengarah 1MDB juga tidak berbuat apa-apa mengenainya.
Terdahulu, ketika disoal balas oleh seorang lagi peguam, Tania Scivetti, Azmi menafikan beliau terlibat dalam konspirasi bersama Jho Low dan beberapa individu lain untuk memindahkan wang AS$790 juta kepada Aabar.
Azmi juga tidak bersetuju beliau telah mengelirukan lembaga pengarah 1MDB sehingga syarikat itu bersetuju memindahkan AS$790 juta kepada Aabar.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian menetapkan esok bagi pengurusan kes untuk memaklumkan perkembangan rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan. –UTUSAN ONLINE