IPOH: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa pembantu rumah yang dikaitkan dengan kes rogol membabitkan bekas exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong mahu pulang ke Indonesia kerana mendakwa terdapat ‘orang jahat’ di sini.
Muhammad Rusdi, 51, yang merupakan bapa saudara wanita itu berkata, perkara tersebut dimaklumkan mangsa ketika dia dan Tina iaitu ibu wanita itu bertemu di pejabat Kedutaan Besar Republik Indonesia pada 19 September 2019.
Katanya, dalam pertemuan tersebut, anak saudaranya itu menangis sambil memeluk ibunya dan memberitahu mahu pulang.
“Dia menangis beritahu ada orang jahat dan mahu pulang ke Indonesia,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fitri Sadarudin dalam perbicaraan kes rogol Choo Kiong di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed di sini hari ini.
Dalam prosiding itu, Mohd. Fitri turut bertanya sama ada anak saudaranya ada memberitahu rahsia seperti yang dinyatakan kepada dia dan Tina ketika pertemuan tersebut, Muhammad Rusdi berkata, tiada.
Saksi pembelaaan ketiga dan terakhir itu bagaimanapun setuju dengan cadangan Mohd. Fitri bahawa rahsia itu merujuk kepada hasrat wanita tersebut yang mahu memberitahu dia telah dirogol oleh majikannya.
Muhammad Rusdi bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan Mohd. Fitri bahawa orang jahat yang dimaksudkan mangsa adalah merujuk kepada majikan yang telah merogol wanita itu.
Mohd. Fitri juga mencadangkan bahawa orang yang sepatutnya menjadi saksi serta memberi keterangan adalah Tina dan ia dipersetujui Muhammad Rusdi, namun, memberitahu bahawa wanita itu sedang sakit di Indonesia.
Pasukan pembelaan menutup kes mereka hari ini selepas memanggil tiga orang saksi termasuk Chooo Kiong dan isterinya, Too Choon Looi, 46.
Hakim Abdul Wahab menetapkan 25 April ini bagi pihak pembelaan memfailkan hujahan bertulis manakala 17 Mei depan pula sebagai tarikh hujahan lisan.
Pada 7 Disember lalu, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu membela diri terhadap tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia pada Julai 2019.
Hakim Datuk Abdul Wahab memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan berkenaan.
Sepanjang prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi dan Mohd. Fitri manakala pasukan pembelaan diketuai peguam Datuk Rajpal Singh bersama Salim Bashir.
Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang juga bekas Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.
Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. –UTUSAN ONLINE