Permohonan Najib tangguh pendengaran masuk bukti baharu ditolak

Permohonan Najib tangguh pendengaran masuk bukti baharu ditolak

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan pendengaran bagi memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhirnya berhubung penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. yang dijadualkan pada pertengahan bulan ini, ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Bukti baharu yang cuba dimasukkan dalam rayuan tersebut membabitkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.

ZETI AKHTAR AZIZ

Sehubungan itu, permohonan tersebut akan didengar pada 15 dan 16 Mac ini sebagaimana yang telah ditetapkan sebelum ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul ketika dihubungi media selepas pengurusan kes tersebut.

“Pihak-pihak dimaklumkan melalui emel pagi tadi,”katanya.

Dua hari lalu, barisan pembelaan Ahli Parlimen Pekan itu memohon penangguhan tersebut kerana perlu mendapatkan beberapa rekod rayuan tambahan.

Menurut Ashrof, pembelaan memerlukan meminta kesemua nota, bukti dan dokumen berkaitan dengan perbicaraan di Mahkamah Tinggi bagi membolehkan mereka menyediakan hujahan bertulis.

Pada 7 Disember 2021, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana tersebut atas alasan tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima.

Keesokan harinya, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati rayuan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai merit.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini atas alasan hukuman yang dikenakan adalah wajar dan bersesuaian.

Tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya