KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menyoal balas seorang perunding unit amanah yang dianggap sebagai saksi belot (hostile witness) pada perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette A. Samad.
Hakim Rozina Ayob memutuskan demikian selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan yang mewakili kedua-dua tertuduh pada perbicaraan kes rasuah berkaitan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Permohonan pendakwaan untuk menyoal balas Norhaili Ahmad Moktar, 45, dikemukakan mengikut Seksyen 154 Akta Keterangan 1950.
Pihak pendakwaan berpendirian, saksi pendakwaan ke-25 itu tidak memberikan keterangan yang selari dengan percakapannya ketika sesi soal siasat oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sophian Zakaria berhujah, keterangan lisan Norhaili yang bercanggah dengan rakaman percakapan yang diberikan ketika soal siasat adalah mencukupi bagi menunjukkan saksi berkenaan tidak boleh dipercayai.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How pula berhujah agar mahkamah membuat anggapan bahawa saksi pendakwaan ke-25 itu sebagai saksi belot.
Hujah beliau, mahkamah perlu menilai keterangan saksi itu pada prosiding lalu dan membandingkannya dengan lima rakaman percakapan yang diambil pihak SPRM bermula 2016 hingga 2018.
Menurut Chin How, lima rakaman percakapan saksi itu diberikan ketika soal siasat kes Bung Moktar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 22, 28 Jun, 19 Julai, 4 Oktober 2016 dan 10 Disember 2018.
“Antara percanggahan itu ialah saksi menyatakan Bung Moktar tidak pernah meminta RM3.5 juta oleh pada 4 Mei 2015.
“Menerusi keterangan lisan, saksi itu juga menyatakan RM2.8 juta diberi kepada Zizie Izette adalah bukan rasuah sebaliknya wang pengenalan,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, M.M. Athimulan membantah permohonan pendakwaan atas alasan Norhaili telah memberi kerjasama kepada pendakwaan dan pembelaan ketika memberi keterangan di mahkamah.
“Saksi ke-25 tidak menunjukkan bahawa dia mengelak untuk menjawab mana-mana soalan yang dikemukakan, beri kerjasama yang baik dan mengaku tidak menipu, jadi adakah itu menunjukkan bahawa dia adalah saksi belot?,”
katanya.
Sementara itu, pada prosiding soal balas oleh pihak pendakwaan, Norhaili menafikan memberi keterangan bercanggah semata-mata untuk menyelamatkan Bung Moktar dan isterinya.
Dalam keterangannya, saksi berkenaan turut menafikan dia berbohong di mahkamah.
Sewaktu disoal balas oleh Chin How, Norhaili turut bersetuju dia tidak membuat sebarang pindaan terhadap kelima-lima rakaman percakapan yang diberikan kepada SPRM.
Pada 27 Januari lalu, Norhaili memberitahu, pelakon Zizie Izette layak mendapat wang pengenalan RM2.8 juta selepas Felcra bersetuju melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Ujarnya, Zizie Izette yang juga kenalannya berhak mendapat wang tersebut selepas memperkenalkan beliau kepada suaminya yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra dan seorang lagi pegawai kanan agensi itu.
Rozina menetapkan perbicaraan bersambung 18 Mac ini.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar, selaku Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Tertuduh juga didakwa menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. -UTUSAN ONLINE