Pemandu SUV didakwa langgar pelanggan restoran warga emas hingga maut - Utusan Malaysia

Pemandu SUV didakwa langgar pelanggan restoran warga emas hingga maut

K. MEENA Sundram dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian. UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terlibat dalam kemalangan di luar sebuah restoran di Jalan Klang Lama dua minggu lalu, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.

Bagaimanapun K. Meena Sundram, 57, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan jenis Honda HRV di bawah pengaruh alkohol sebanyak 116 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah.

Ia melebihi 67mg alkohol daripada had yang ditetapkan iaitu 50mg alkohol dalam 100ml kandungan darah, yang tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaan itu dan menyebabkan kematian Soh Cheng Keong @ Soh Chin Kiew ,76.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Klang Lama di sini menghala ke pusat bandar pukul 8.50 malam pada 20 Mac lalu.

Berikutan itu pertuduhan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun serta denda tidak kurang RM30,000 dan tidak melebihi RM100,000.

Individu juga boleh hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang tujuh tahun dari tarikh disabitkan kesalahan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd. Rauf menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin manakala peguam P. Ari Krishnan mewakili tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin manakala lesen digantung sementara menunggu pelupusan kes serta menetapkan 3 Mei untuk sebutan kes.

Pada 21 Mac lalu, media melaporkan seorang lelaki ditahan kerana dipercayai memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh ruang luar sebuah restoran sehingga lapan pelanggan cedera di Jalan Klang Lama, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, lelaki berumur 57 tahun itu ditahan di tempat kejadian.

Dalam kejadian pukul 9.30 malam, lelaki terbabit memandu Honda HR-V dari arah Petaling Jaya menghala pusat bandar hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kenderaan jenis Lexus yang diparkir di bahu kiri jalan.

Akibat pelanggaran itu kereta Lexus bergerak ke hadapan dan melanggar sebuah Perodua Axia yang diparkir di bahagian hadapan restoran.

Jelasnya, impak rempuhan menyebabkan Perodua Axia melanggar lapan pelanggan yang sedang makan di ruang luar sebuah restoran serta dua pejalan kaki. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya