PUTRAJAYA: Seorang bekas pemandu lori terlepas hukuman gantung setelah Mahkamah Rayuan di sini hari ini menggantikan hukuman itu dengan penjara 20 tahun atas kesalahan menyebabkan kematian kekasihnya, enam tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Nor Bee Ariffin yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan N. Sanderasegaran.
Mahkamah mengetepikan sabitan dan hukuman di bawah Sekyen 302 Kanun Keseksaan dan menggantikannya dengan Seksyen 304(a) kanun yang sama selepas berpuas hati rayuannya mempunyai merit.
Sanderasegaran, 34, pada asalnya dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak pada 2018 kerana membunuh kekasihnya, S. Durga Devi yang ketika kejadian berusia 17 tahun.
Kejadian berlaku di sebuah rumah di Kampung Batu Besi, Ladang Sengat, Simpang Pulai antara 11 malam 27 Februari 2016 dan 6 pagi 28 Februari tahun sama.
Terdahulu, peguam Afifuddin Ahmad Hafifi yang mewakili Sanderasegaran memohon agar sabitan dan hukuman terhadap anak guamnya di bawah Seksyen 302 diketepikan dan digantikan dengan Seksyen 304(a).
Beliau berhujah agar mahkamah meneliti keterangan saksi yang melihat empat individu lain dalam rumah tempat kejadian.
Hujah peguam bela, naratif yang disampaikan oleh saksi pendakwaan keenam (SP6) adalah lompang kerana dia tidak menyaksikan kejadian yang berlaku pada malam itu manakala suara yang didengarnya adalah andaian semata-mata.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Fairuz Johari berhujah, sabitan dan hukuman adalah selamat untuk dikekalkan kerana hakim bicara telah membuat dapatan kes tersebut berdasarkan keterangan saksi-saksi ketika perbicaraan.
Hujah beliau, versi bahawa berlaku rompakan telah disiasat dan didapati tidak berasas manakala tidak wujud tapak kaki individu-individu lain dalam rumah tersebut bagi membuktikan wujud pihak lain di tempat kejadian.
Menurut pihak pendakwaan, hakim bicara berpuas hati bahawa SP6 iaitu jiran perayu merupakan saksi yang boleh dipercayai dan dia tiada niat untuk menganiayai lelaki itu.
Mohd. Fairuz turut berhujah, SP6 mendengar suara wanita menangis namun tidak dicamkan sebagai suara mangsa meskipun mengenalinya sejak kecil.
Menurut pihak pendakwaan, keterangan SP6 bahawa tiada orang lain dalam bilik rumah berkenaan boleh dipercayai dan bukan sesuatu yang direka-reka.
Pada 2 Oktober 2018, Hakim Datuk Che Ruzima Ghazali mensabitkan Sanderasegaran selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.
Lelaki itu ketika membela diri menyatakan mangsa dibunuh oleh perompak yang datang ke rumahnya pada masa kejadian.
Bagaimanapun, Hakim Che Ruzima mendapati kejadian rompakan itu adalah rekaan semata-mata kerana tertuduh hanya cedera ringan di tangan berbanding 37 kesan kecederaan pada tubuh mangsa.
Menurut hakim bicara, adalah tidak munasabah perompak memukul mangsa secara berterusan dalam tempoh panjang kerana kebiasaannya perompak berada dalam masa singkat dalam sesebuah rumah yang dicerobohi kerana bimbang ditangkap.
Pada masa sama, Hakim Che Ruzima berkata barang kemas mangsa masih terletak pada tubuhnya ketika dibawa untuk proses bedah siasat di hospital.
Jadi ujar hakim itu, adalah mustahil perompak melarikan diri tanpa mengambil barang kemas berkenaan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ketika pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 11 Mac 2016. –UTUSAN ONLINE