Mkini gagal semak keputusan hina mahkamah

Mkini gagal semak keputusan hina mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Portal berita, Malaysiakini gagal mendapatkan kebenaran untuk menyemak keputusan mahkamah terdahulu yang mendapati portal terbabit bersalah kerana menghina mahkamah selepas menerbitkan beberapa komen yang tidak wajar di laman sesawangnya, dua tahun lalu.

Panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Puan Seri Zaleha Yusof sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati semua isu yang ditimbulkan pada prosiding semakan hari ini telahpun dibangkitkan pada prosiding menghina mahkamah.

“Peguam mewakili pemohon (Malaysiakini) berhujah seoalah-olah permohonan pada hari ini adalah rayuan dan bukannya semakan. Walaupun, sekiranya ada, bahawa mahkamah ini bersetuju dengan hujah yang disampaikan peguam, Mahkamah ini terikat dengan peruntukan undang-undang dalam melayan aduan sebegini memandang ia merupakan semakan dan bukannya rayuan.

“Oleh itu, permohonan adalah ditolak dan memandangkan kes ini merupakan kes kepentingan awam maka mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos,” kata Hakim Zaleha pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Turut bersidang ialah Datuk Zabariah Mohd. Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan,  Datuk Harminder Singh Dhaliwal, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Pada prosiding hari ini, Malaysiakini selaku pemohon diwakili peguam, Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala Jabatan Peguam Negara yang dinamakan sebagai responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan.

Pada 19 Februari 2021, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan dengan majoriti 6-1 memutuskan bahawa Malaysiakini telah menghina mahkamah dan turut mendenda portal terbabit RM500,000.

Denda tersebut dibayar dalam tempoh lima jam selepas mahkamah membuat keputusan tersebut hasil sumbangan orang ramai dan parti politik.

Hakim Tan Sri Rohana Yusuf yang mengetuai panel tujuh hakim itu ketika membaca penghakiman majoriti berkata, portal yang dikendalikan oleh Mkini Dotcom Sdn. Bhd. yang dinamakan sebagai responden pertama sepatutnya lebih peka dan sedar akan komen-komen akan diterima apabila menerbitkan artikel-artikel berbaur kontroversi.

Malaysiakini selaku penerbit dan penyedia platform komen-komen menghina itu sepatutnya mengambil langkah awal dalam mengawal penerbitan komen tersebut.

Bagaimanapun, Ketua Pengarang portal itu, Steven Gan selaku responden kedua tidak dikenakan sebarang tindakan komital kerana tiada sebarang bukti menunjukkan lelaki itu menyumbang atau memudahkan penerbitan komen-komen menghina itu.

Sementara itu, Hakim Nallini Pathmanathan dalam penghakiman menentangnya menyatakan, Malaysiakini tidak boleh dikenakan sebarang tindakan kerana portal terbabit tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai komen-komen tersebut sehinggalah dimaklumkan oleh pihak berkuasa.

Pada 17 Jun 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan sebelah pihak Peguam Negara memulakan prosiding itu terhadap Mkini Dotcom dan Gan berkaitan komen lima pembaca mengenai satu artikel yang disiarkan Malaysiakini pada 9 Jun tahun lalu bertajuk ‘CJ orders all courts to be fully operational from July 1’ yang didakwa bersifat menghina.

Komen-komen menghina itu merujuk kepada pembebasan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Pada 2 Julai 2020, Mkini Dotcom dan Gan gagal mengetepikan kebenaran yang diperoleh Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap mereka. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya