Mekanik muda ke tali gantung kerana ganja - Utusan Malaysia

Mekanik muda ke tali gantung kerana ganja

IZZAT ASNAWIE Noor Azami diiring keluar anggota polis selepas Mahkamah Rayuah, Ayer Keroh, Melaka menjatuhkan hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar dadah jenis kanabis. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang mekanik berusia 26 tahun dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 615.5 gram, lima tahun lalu. 

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ahmad Nasfy Yasin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Izzat Asnawie Noor Azami selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Katanya, keterangan diberikan tertuduh adalah penafian semata-mata, tidak konsisten dan difikirkan semula (afterthought), termasuk soal pemilikan dadah dirampas serta rumah sewa iaitu tempat kejadian boleh diakses ramai orang. 

“Keterangan diberikan tertuduh tidak konsisten apabila menyatakan tiada barang salah dan kedudukan dia dengan dadah tersebut jauh.  

“Mahkamah membuat penemuan tertuduh duduk di ruang tamu ketika ditahan bersama 10 ketulan mampat dadah ganja dan alat pemotong plastik,” katanya. 

Mengikut pertuduhan pertama tertuduh didapati telah mengedar 449 gram kanabis di sebuah rumah di Taman Pangsapuri Malim kira-kira 8.30 malam, pada 1 Jun 2017. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 12 tahun dan 10 sebatan terhadap  dua pertuduhan mengikut Seksyen 39A (2) kerana memiliki 166.5 gram dan 116.46 gram kanabis, di tempat, masa serta tarikh sama. 

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 12 (2) iaitu bagi dua pertuduhan memiliki 5.2 gram methamphetamine serta 0.10  gram nimetazepam dan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi setiapnya. 

 Semua hukuman penjara ditetapkan berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 1 Jun 2017. 

 Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muzila Mohamed Arsad manakala tertuduh diwakili peguam R. Subash. 

 Sepanjang prosiding yang bermula sejak 17 Jun 2019, seramai lapan saksi pendakwaan telah memberi keterangan manakala pembelaan mengemukakan seorang saksi iaitu tertuduh. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya