KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mendapatkan injunksi ad interim (sementara) terhadap pemilik portal berita AgendaDaily yang memerintahkannya memadamkan artikel yang dikatakan memfitnah Perdana Menteri itu.
Permohonan perintah ad interim tersebut dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Evrol Mariette Peters sementara menunggu pendengaran injunksi inter-parte (kedua-dua belah pihak) yang akan didengar pada 27 April ini.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam Joshua Tan yang mewakili Ahli Parlimen Bera itu ketika dihubungi media di sini hari ini selepas tamat prosiding pengurusan kes yang dijalan secara dalam talian.
Pada 18 Februari lalu, mahkamah membenarkan permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) Ismail bagi tujuan serupa namun perintah tersebut hanya berkuat kuasa sehingga 11 Mac ini.
Muhammad Izwan juga diperintahkan tidak membuat sebarang kenyataan yang membayangkan Ismail Sabri terdesak untuk kekal sebagai perdana menteri, dan bahawa beliau ‘rayu’ atau akan ‘rayu’ kepada parti politik untuk tidak menarik balik sokongan terhadapnya.
“Pada prosiding hari ini kami turut menyebut bagi pihak defendan (Muhamad Izwan Mohd. Zubit). Defendan memaklumkan pihaknya memerlukan masa untuk memfailkan afidavit jawapan kerana baru melantik peguam. Mahkamah membenarkan permohonan itu.
“Mahkamah juga benarkan lanjutan perintah injunksi ad interim (sementara) sementara menunggu keputusan permohonan injunksi inter parte (kedua-dua belah pihak) yang akan didengar pada 27 April ini,”kata Joshua.
Menurut penyataan tuntutan, pada 30 Januari lalu, defendan telah menerbitkan satu artikel bertajuk “Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan” yang dikatakan berbaur fitnah.
Artikel terbabit juga telah diterbitkan semula dalam laman sesawang ‘The MalaysiaLife’ yang boleh diakses oleh orang awam.
Ismail dalam penyataan tuntutannya menyatakan, artikel terbabit antara lain menggambarkan dirinya sebagai seorang yang tidak jujur dan terdesak untuk kekal menjadi Perdana Menteri dalam apa juga cara.
Selain itu, artikel tersebut turut menggambarkan Ismail sebagai seorang yang mementingkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri berbanding kepentingan Malaysia dan rakyatnya dan parti politik UMNO.
Artikel itu juga didakwa dibuat dengan niat jahat bagi menjatuhkan reputasinya sebagai Perdana Menteri dan ahli UMNO.
Pada 3 Februari lalu, peguam mewakili Ismail telah menghantar surat tuntutan memohon defendan untuk memadamkan artikel tersebut dan memohon maaf. Namun permohonan tersebut sehingga hari ini masih belum dilaksanakan.
Oleh itu, Ismail memohon satu perintah injunksi agar defendan memadamkan artikel berbaur fitnah itu dalam semua laman sesawang dan media sosial kendalian Muhamad Izwan.
Plaintif turut memohon satu perintah mahkamah agar defendan menyerahkan dokumen bagi menunjukkan bahawa artikel terbabit telah dipadamkan dalam tempoh 24 jam dari tarikh penghakiman.
Turut dimohon ialah permohonan maaf daripada defendan dalam bentuk yang akan ditentukan oleh plaintif yang akan diterbitkan dalam laman sesawang dan di 21 akhbar tempatan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman.
Ismail turut menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah, faedah sebanyak lima peratus dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. –UTUSAN ONLINE