PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 21 Mac ini bagi keputusan rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.
Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez memaklumkan kepada media semalam, pihaknya menerima e-mel daripada Mahkamah Rayuan pada 9 Mac lalu bagi memaklumkan tarikh keputusan rayuan.
Abdul Azeez, 55, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Mac 2021 yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin ketika menolak permohonan itu berkata, mahkamah mendapati semua pertuduhan itu tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.
Mahkamah Tinggi juga membenarkan permohonan Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling untuk menangguhkan perbicaraan kesnya di Mahkamah Sesyen sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Abdul Azeez menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di ibu negara pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.
Kesalahan pengubahan wang haram didakwa dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018. –UTUSAN ONLINE