ALOR SETAR: Seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan peniaga sate masing-masing dihukum penjara selama 12 tahun dan didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menggunakan dokumen palsu, enam tahun lalu.
Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman itu ke atas Nurul Hanim Abu Bakar, 37, dan Nik Hazrihairi Nik Kasim, 39, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap keempat-empat pertuduhan dihadapi mereka.
Nurul Hanim dan Nik Hazrihairi dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan secara serentak selain memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara selama lapan bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan.
Bagaimanapun hanya Nik Hazrihairi membayar jumlah denda tersebut.
Mahkamah membenarkan hukuman penjara ditangguhkan sementara menanti proses rayuan di Mahkamah Tinggi dengan ikat jamin sebanyak RM12,000, seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Mengikut kertas pertuduhan, Nurul Hanim yang ketika itu bertugas sebagai Pembantu Tadbir Perkeranian/Operasi di Unit Hasil JPJ Cawangan Kulim didakwa menggunakan dokumen-dokumen yang memiliki butiran palsu.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan bagi mengelirukan prinsipalnya apabila mewujudkan pendaftaran empat buah kenderaan dalam pangkalan data MySikap JPJ dengan status lucut hak kastam.
Manakala, Nik Hazrihairi pula didakwa telah memberikan dokumen-dokumen berkenaan kepada Nurul Hanim dengan niat untuk memperdayakan prinsipal wanita berkenaan.
Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh pada 16 Februari 2016, 1 Jun 2016, 21 Jun 2016 dan 30 Jun 2016 di JPJ Cawangan Kulim.
Empat jenis kenderaan yang terlibat adalah Mitsubishi Grandis 2.4L, Toyota Estima Aeras 2.4L, Toyota Wish 1.8L serta Toyota Previa 2.4L.
Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tan Sew Ping sementara Nurul Hanim diwakili peguam, CP Ang manakala Nik Hazrihairi pula diwakili peguam, R. Khirtigha. –UTUSAN ONLINE