KOTA BHARU: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan berkaitan seksual dan kelucahan melampau terhadap pelajar lelakinya bermula 2014 hingga 2021.
Tertuduh, Muhammad Nasution Noh, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merangsang seorang kanak-kanak lelaki yang ketika itu berusia 12 tahun untuk melakukan perbuatan lucah melampau di perumahan guru di sebuah sekolah di Kuala Krai, kira-kira pukul 5 pagi pada 24 November 2014.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan maksimum 15 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua hingga ketujuh, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa yang sama di lokasi sama serta di sebuah rumah di Kuala Krai antara pukul 11 malam hingga 3 petang, antara 11 Mac 2016 hingga April 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kelapan pula, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap mangsa sama di sebuah rumah di Gunong, Bachok kira-kira pukul 3 pagi pada 6 November 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Hasif Hassan.
Terdahulu, Ahmad Fariz tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan serius selain memohon semua pertuduhan dibicara secara bersama kerana melibatkan tertuduh, mangsa dan saksi yang sama.
Sementara itu, Muhammad Hasif dalam rayuannya memohon anak guamnya itu diberi jaminan minimum kerana tertuduh perlu menanggung seorang isteri dan empat anak yang masih bersekolah.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 12 Mei depan untuk sebutan semula kes. Difahamkan, tertuduh tidak membayar jaminan tersebut. –UTUSAN ONLINE