Dua lelaki didakwa rompak wanita warga asing - Utusan Malaysia

Dua lelaki didakwa rompak wanita warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan merompak secara berkumpulan barang-barang berharga milik dua wanita masing-masing warganegara Perancis dan Jepun.

Muhamad Nor Azizi Zainal Abidin, 25, dan Sharifuden Mohd. Idzaham, 38, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan rompak berkumpulan ke atas Claire Barbara Marie Bolard, 47, yang merupakan warga Perancis dan Anna Yamauchi ,33, yang merupakan warga Jepun.

Antara barang-barang berharga yang dirompak antaranya dua telefon bimbit masing-masing jenis Iphone 7 dan Samsung, kad ATM, pasport berserta sejumlah wang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Tun Razak dan di hadapan sebuah kondominium di Jalan Medan Tuanku di sini pukul 10.30 pagi dan 11.15 pagi pada 20 dan 21 Januari lalu.

Bagi kesalahan rompak berkumpulan, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, Muhamad Nor Azizi juga turut mengaku tidak bersalah merompak seorang wanita rakyat Filipina, Gladys Mongcal di Jalan Ceylon di sini pukul 8.40 pagi pada 20 Januari lalu.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Sharifuden pula mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, memiliki harta rompak iaitu telefon bimbit jenis Oppo di sebuah bilik hotel di Kota Damansara pukul 9 pagi pada 29 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum penjara dua tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd. Razif tidak menawarkan ikat jamin kepada kedua-dua tertuduh dengan mengambil kira kesalahan yang dipertuduhkan adalah serius.

Bagaimanapun, peguam Effa Ruzanna Anuar merayu agar kedua-dua anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah.

“Sharifuden membantu kakaknya berniaga, perlu menyara ibu, isteri dan lima anak manakala Muhammad Nor Azizi sebagai penjual burger serta tinggal bersama ibunya.

“Mereka tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan saya percaya mereka akan hadir ke mahkamah pada setiap prosiding,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Siti Aminah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dan menetapkan 30 Mac untuk sebutan kes. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN