Bekas jurukimpal kekal dipenjara 18 tahun, 12 sebatan sumbang mahram dengan adik ipar - Utusan Malaysia

Bekas jurukimpal kekal dipenjara 18 tahun, 12 sebatan sumbang mahram dengan adik ipar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bekas jurukimpal kekal menjalani hukuman penjara 18 tahun dan dikenakan 12 sebatan atas kesalahan melakukan sumbang mahram dengan adik iparnya yang ketika kejadian berumur 17 tahun, tujuh tahun lalu.

Demikian keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan hari ini ketika menolak permohonan lelaki itu agar panel tersebut menyemak keputusan mahkamah terdahulu yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Nor Bee Ariffin yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali berpuas hati permohonan itu tiada merit.

Mahkamah berpendapat, pemohon gagal melepasi peruntukan yang ditetapkan (threshold) bahawa wujud keadaan istimewa yang membolehkan panel tersebut menyemak keputusan terdahulu.

Jurukimpal berusia 34 tahun itu (namanya dirahsiakan oleh mahkamah) disabitkan atas tuduhan melakukan sumbang mahram dengan adik iparnya di antara pukul 8 malam, 10 November 2015 dan 2 pagi keesokannya di sebuah rumah di Tumpat, Kelantan.

Lelaki tersebut didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Jurukimpal berkenaan didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada 30 November 2017. Keputusan itu disahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 11 Mac 2019 dan dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 3 Mac 2020.

Terdahulu, peguam G. Subramaniam Nair yang mewakili lelaki itu berhujah agar mahkamah menimbangkan keadaan istimewa yang membolehkan permohonan semakan dibenarkan.

Peguam bela berhujah, sabitan dan hukuman yang diputuskan terhadap anak guamnya tidak sah berdasarkan keterangan mangsa ketika perbicaraan.

Hujah Subramaniam, mangsa berbohong ketika membuat laporan polis kerana risaukan bapanya yang menunggu di luar, walhal gadis itu melakukan sumbang mahram dengan abang iparnya tanpa paksaan.

Peguam bela menyatakan, anak guamnya telah diprejudis dan tidak diadili dengan betul sejak perbicaraan bermula menjadikan sabitan dan hukuman terhadapnya tidak selamat untuk dikekalkan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asraf Zubir berhujah, pemohon telah mengemukakan rayuan dan meritnya telah diputuskan oleh panel terdahulu.

Oleh yang demikian, hujahnya pihak pembelaan gagal melepasi peruntukan yang ditetapkan yang mewajarkan panel itu membenarkan permohonan semakan. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya