KUALA LUMPUR: Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman seorang lelaki berhubung tindakan sebelah pihak kerajaan menarik balik semakan ICJ tanpa membentangkan dan membincangkannya di Parlimen.
Permohonan tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi di sini semalam (28 Februari 2022).
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili kerajaan dan Perdana Menteri (tidak dinyatakan secara spesifik) ketika dihubungi media hari ini.
Ahmad Hanir turut memaklumkan, Penolong Pendaftar Haslinda A.Raof menetapkan 15 Mac ini untuk pengurusan kes selanjutnya.
Pada 28 Mei 2021, seorang individu Mohd. Hatta Sanuri memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi di sini terhadap defendan yang antaranya menuntut penjelasan bertulis berhubung penarikan balik semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda berkenaan tuntutan Pulau Batu Puteh.
Mohd. Hatta selaku plaintif mendakwa dia memfailkan tuntutan tersebut bagi dirinya dan turut mewakili 32 juta rakyat Malaysia yang menerima akibat daripada tindakan sebelah pihak kerajaan menarik balik semakan ICJ tanpa membentangkan dan membincangkannya di Parlimen.
Sementara itu, peguam Mohaji Selamat yang mewakili Mohd. Hatta ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Beliau juga memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan rayuan terhadap keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Januari lalu.
Pada tarikh tersebut, Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membenarkan permohonan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia agar semua dokumen dan bahan dalam kes saman berhubung penarikan balik semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda tidak didedahkan kepada pihak yang tidak berkenaan termasuk media.
Kerajaan dan Perdana Menteri selaku defendan dalam kes tersebut memohon perintah perlimdungan tersebut atas alasan tindakan saman itu membabitkan isu sensitif kerana ia bukan sahaja membabitkan martabat kerajaan tetapi juga membabitkan hubungan diplomatik dengan kerajaan Singapura.
Selain itu, dokumen dan maklumat yang akan didedahkan dalam kes saman berkenaan adalah berstatus dokumen berperingkat dan ada yang bertaraf rahsia besar di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Menurut tuntutan yang difailkan Mohd. Hatta selaku plaintif mendakwa dia memfailkan tuntutan tersebut bagi dirinya dan turut mewakili 32 juta rakyat Malaysia yang menerima akibat daripada tindakan sebelah pihak kerajaan menarik balik semakan ICJ tanpa membentangkan dan membincangkannya di Parlimen.
Plaintif berkata, kerajaan sehingga kini belum memberikan penjelasan penarikan balik permohonan semakan berdasarkan bukti baharu yang menyokong Malaysia dalam usaha menuntut kedaulatan negara ke atas Pulau Batu Puteh.
Tambahnya, mereka berhak mendapatkan penjelasan mengenai keputusan penarikan yang dibuat secara sebelah pihak dan senyap-senyap tanpa perbahasan atau perbincangan umum dengan semua sebelum keputusan dibuat.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pulau Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya. –UTUSAN ONLINE