IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan bekas pengetua sebuah maahad tahfiz di Batu Gajah dibebaskan dengan jaminan RM20,000 beserta seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan kes amang seksual dihadapinya.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed turut mengenakan beberapa syarat ke atas Azizul Yahya, 30, termasuk dilarang mendekati kanak-kanak yang didakwa menjadi mangsa dalam kes itu pada jarak satu kilometer.
Menurut beliau, Azizul juga dikehendaki menyerahkan pasportnya kepada mahkamah selain melaporkan diri di balai polis berhampiran di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah setiap bulan.
“Sekiranya pemohon melanggar syarat-syarat tersebut, maka jaminan dibatalkan dan dikehendaki ditahan reman semula sehingga perbicaraan kesnya selesai,” kata Abdul Wahab.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fajrul Shihar Abu Samah manakala Azizul diwakili peguam Mohamad Hafiz Jalaludin. Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 29 April ini.
Pada 28 Januari lalu, Azizul dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas 15 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima pelajar lelaki, tahun lalu. Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd. Ardani.
Dalam prosiding itu, Hakim Norita menerima permohonan pasukan pendakwaan dengan tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh.
Mengikut pertuduhan pertama hingga 14, Azizul yang masih bujang itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas lima remaja lelaki berusia antara 13 hingga 15 tahun dengan cara menghisap dan menyentuh kemaluan, melakukan onani serta mencium bibir.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh dari Februari hingga Oktober 2021 di sebuah maahad tahfiz dalam daerah Batu Gajah dekat sini. Pendakwaan terhadap Azizul itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a), 14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Azizul juga didakwa atas pertuduhan amang seksual bukan fizikal ke atas seorang mangsa dengan menunjukkan video lucah pada pukul 7.30 pagi, 18 Oktober 2021 di lokasi sama.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. – UTUSAN