Saman AS$1.18 bilion SRC International terhadap Najib diteruskan - Utusan Malaysia

Saman AS$1.18 bilion SRC International terhadap Najib diteruskan

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggantung prosiding saman sivil SRC International Sdn. Bhd. terhadap beliau melibatkan dana AS$1.18 bilion (RM4.94 bilion).

Dengan keputusan itu, perbicaraan tuntutan saman terhadap bekas Perdana Menteri akan tetap didengar walaupun rayuan akhir kes jenayahnya melibatkan penyelewengan RM42 juta dana SRC, masih belum selesai di Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin memutuskan demikian selepas berpuas hati pengurusan tuntusan saman perlu diteruskan pada peringkat ini kerana perkembangan rayuan di Mahkamah Persekutuan hanya bersifat spekulasi.

Beliau berpendapat, pemfailan pembelaan oleh Najib adalah kritikal bagi memastikan perbicaraan berjalan lancar.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan Najib untuk lanjutan masa pemfailan pembelaan dalam tempoh 40 hari daripada hari ini dan menetapkan 1 April ini untuk pengurusan kes.

Pada 17 Februari lalu, mahkamah mendengar penghujahan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili bekas Perdana Menteri itu dan Datuk D.P Naban yang mewakili SRC, subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib mahu saman itu digantung sehingga selesai sepenuhnya kes jenayah membabitkan RM42 juta dana SRC yang kini di peringkat akhir di Mahkamah Persekutuan serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana syarikat itu di Mahkamah Tinggi di sini.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim
Ahmad Fairuz menyatakan mahkamah bertindak secara seimbang dengan mengambil kira latar belakang kes dan perkembangan rayuan kes jenayahnya di Mahkamah Persekutuan.

Ujar beliau, beberapa isu dibangkitkan oleh peguam Najib ketika memohon penggantungan perbicaraan termasuk kemungkinan perbicaraan semula yang bakal mengubah landskap tuntutan saman yang dijadualkan didengar di hadapannya.

Peguam Najib turut menyatakan beberapa permohonan lain akan dikemukakan termasuk untuk memasukkan bukti keterangan baharu yang mana ia akan memprejudiskan beliau jika penggantungan tidak dibenarkan.

Ujarnya, pihak plaintif pula menyatakan, penangguhan tidak wajar kerana mereka berhak diberi peluang di mahkamah untuk membuktikan tuntutannya.

Namun begitu, pada hemat Hakim Ahmad Fairuz, apa sahaja keputusan kelak dan sebarang permohonan yang dibuat tidak menghalang Najib untuk membuat pindaan terhadap pliding tertakluk kepada permohonan yang dikemukakan.

Selain itu, mahkamah turut berpuas hati, pembelaan Najib tidak akan memprejudiskan beliau kerana sebilangan besar pembelaan telah didedahkan dalam perbicaraan kes jenayahnya.

Hakim Ahmad Fairuz turut menyatakan, penangguhan jika dibenarkan akan menyebabkan pengurusan tuntutan saman itu terbantut yang mana pliding tidak dapat difailkan manakala sebarang permohonan interlokutori tidak dapat dikemukakan.

Pada akhir prosiding, Harvinderjit memohon lanjutan masa ditambah daripada 30 hari kepada 40 hari kerana beliau dan peguam Tan Sri Dr. Shafee Abdullah akan berangkat ke United Kingdom (UK) esok untuk memberi taklimat kepada Queen’s Counsel berhubung rayuan akhir Najib dan akan pulang pada 8 Mac ini.

Najib disaman berhubung dakwaan melakukan pecah amanah jenayah dan melanggar kewajipan statutori berhubung pinjaman RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada SRC.

Bagaimanapun, beliau mahu saman itu digantung sementara menunggu kes jenayahnya selesai atas alasan untuk mengelak keputusan yang bercanggah apabila persoalan atau isu adalah serupa, serta untuk memastikan tiada gangguan terhadap prosiding jenayah yang belum selesai.

Sementara itu, Naban yang membantah perkara itu atas alasan setakat ini tiada kes jenayah yang masih belum selesai di peringkat rayuan, boleh menyebabkan prosiding sivil ditangguhkan.

Pada 7 Mei 2021, SRC di bawah pengurusan baharu memulakan tindakan perundangan terhadap Najib dan beberapa bekas pengarahnya iaitu Datuk Suboh Md. Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

Bagaimanapun, syarikat itu kemudiannya menggugurkan enam nama daripada saman itu dan mengekalkan Najib sebagai defendan.

Dalam writ samannya, SRC mendakwa Najib menyalahgunakan kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana tersebut.

Najib merupakan Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), menuntut ganti rugi am, teladan, tambahan dan faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 7 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC selepas menolak rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Pada hari yang sama, Najib memfailkan notis untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN