Salah guna kedudukan: Rozman mahu pertuduhan dibatalkan - Utusan Malaysia

Salah guna kedudukan: Rozman mahu pertuduhan dibatalkan

ROZMAN ISLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya iaitu menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah bagi sebuah projek, empat tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman ketika kes itu disebut semula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob hari ini.

Peguam itu ketika dihubungi media berkata, pihaknya telah mendapat arahan daripada anak guamnya untuk memfailkan notis permohonan beserta afidavit sokongan  bagi membatalkan pertuduhan yang dihadapi oleh tertuduh.

“Mahkamah telah menetapkan 2 Mac ini untuk pendengaran permohonan itu,” katanya.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asri Abdul Rahman Sidik.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, antara alasan-alasan permohonan itu ialah pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dikenakan terhadap pemohon (Rozman) tidak berasas sama ada dari segi fakta mahupun perundangan.

Pertuduhan yang dikenakan terhadap Rozman dilakukan dengan niat jahat dan merupakan suatu bentuk penindasan kepada pemohon dan terjumlah kepada suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Pada 14 Oktober 2021, Rozman, 58, yang ketika itu merupakan Ketua Whip Warisan, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.

Suapan itu ialah kontrak pekerjaan sebagai Operator Damaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. yang mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (akta 694) dan  boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan  penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pada 16 Disember 2021, Rozina menetapkan perbicaraan didengar selama lima hari bermula 9 Mei ini manakala pendakwaan akan memanggil 42 saksi memberi keterangan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya