Pembelaan mohon tangguh pendengaran permohonan Najib masuk bukti baharu - Utusan Malaysia

Pembelaan mohon tangguh pendengaran permohonan Najib masuk bukti baharu

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memohon agar pendengaran permohonan untuk memasukan bukti baharu dalam rayuan akhirnya yang dijadualkan didengar pada pertengahan Mac ini ditangguhkan.

Permohonan tersebut adalah berhubung rayuan ke atas sabitan salah dan hukuman yang dikenakan terhadap Najib selepas didapati bersalah atas penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul ketika dihubungi media selepas pengurusan kes tersebut.

Menurut Ashrof, pihak pembelaan yang mewakili Ahli Parlimen Pekan itu memohon agar pendengaran tersebut ditangguhkan kerana perlu mendapatkan beberapa rekod rayuan tambahan.

“Mereka (pembelaan) memerlukan beberapa rekod rayuan tambahan bagi membolehkan mereka menyediakan hujahan bertulis. Mereka meminta kesemua nota, bukti dan dokumen berkaitan dengan perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

“Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan masih belum memberi kata putus dan akan memaklumkan pihak-pihak terlibat dalam masa beberapa hari lagi,”kata Ashrof melalui aplikasi WhatsApp.

Berhubung rayuan utama Najib iaitu berkaitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International, timbalan pendakwa raya itu memaklumkan, Mahkamah Persekutuan menetapkan 8 April ini untuk pengurusan kes lanjutan.

Turut hadir pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian itu ialah Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk V. Sithambaram mewakili pendakwaan manakala Najib diwakili barisan peguam-peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh dan Syahirah Hanapiah.

Pada 7 Disember 2021, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana tersebut atas alasan tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima.

Bukti baharu yang cuba dimasukkan dalam rayuan tersebut membabitkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.

Keesokan harinya, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati rayuan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai merit.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini atas alasan hukuman yang dikenakan adalah wajar dan bersesuaian.

Tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN