Pemandu Kastam didakwa terima rasuah berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan kenderaan jabatan - Utusan Malaysia

Pemandu Kastam didakwa terima rasuah berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan kenderaan jabatan

MUHAMAD Azwan Shah Abdullah hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan rasuah. UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang sebelum ini didakwa atas lapan pertuduhan rasuah berkaitan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan jabatan, didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan sama.

Bagaimanapun Muhamad Azwan Shah Abdullah, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Azwan sebagai pemandu kenderaan yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu, didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM500 daripada seorang lelaki melalui akaun bank milik tertuduh.

Perbuatan itu sebagai dorongan bagi membantu mendapatkan kerja- kerja pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan jabatan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Jalan Tun Razak di sini pada 6 Februari 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Muhamad Azwan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan membabitkan jumlah rasuah dan dorongan sama tanpa balasan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab. Wahab manakala Muhamad Azwan diwakili peguam Nor Asyikin Zakaria.

Rozina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan selain tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Selangor.

Oleh kerana Muhamad Azwan telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, pasportnya telah diserahkan kepada mahkamah itu.

Rozina menetapkan 17 Mac ini bagi sebutan semula kes dan sebutan akan didengar di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Pada 14 Februari lalu, media melaporkan Muhamad Azwan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas lapan pertuduhan rasuah termasuk pilihan bernilai RM8,850 melibatkan perbuatan sama. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya