Mengaku curi, tak mengaku rompak berkumpulan - Utusan Malaysia

Mengaku curi, tak mengaku rompak berkumpulan

KESEMUA tertuduh diiring keluar anggota polis selepas dituduh dengan dua pertuduhan berasingan di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah mencuri bersama-sama tunang dan anaknya, bulan lalu.

Hakim Mazana Sini menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd. Jerryzal Mohd. Jefri, 35, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. 

Tunangnya, Nurul Arzira Idris, 27, serta anak lelaki berusia 16 tahun bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didapati dengan curang telah mencuri sebuah kereta jenis Proton Saga milik penama Nik Zahidi Zainal, 39. 

Tindakan itu dilakukan kira-kira pukul 11 pagi di Pejabat Persatuan Anggota Kemas, Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah, 18 Januari lalu. 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan baru bekerja sebagai tukang cuci kereta dan menanggung empat orang anak tunangnya yang masih kecil. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Bahiyah Amir Haidi bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan memandangkan tertuduh  mempunyai tiga rekod lampau jenayah membabitkan kes sama. 

Beliau turut mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000 dikenakan terhadap tertuduh wanita dan remaja tersebut. 

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan terhadap tertuduh lelaki dan membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 terhadap tunangnya, dan anak (RM2,000). 

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, ketiga-tiga tertuduh turut didakwa atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan sebilah pisau terhadap seorang wanita warga emas, Tuan Pah Megat Yaman yang berusia 69 tahun. 

Tertuduh telah mengambil harta milik mangsa iaitu sebuah kereta jenis Proton Saga, barang kemas iaitu dua bentuk cincin dan masing-masing seutas gelang, rantai serta anting-anting bernilai kira-kira RM20,000 pada masa, tarikh dan lokasi sama. 

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nariman Badruddin dan tertuduh lelaki dibenarkan diikat jamin sebanyak RM15,000 manakala tunang dan anaknya masing-masing RM7,000 dan RM3,000. 

Mahkamah kemudian bersetuju menetapkan tarikh 23 Mac depan sebagai sebutan semula kedua-dua kes tersebut. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN