KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan oleh ahli keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung permohonan kerajaan untuk melucut hak harta hampir RM16 juta termasuk satu lot kedai yang didakwa hasil daripada aktiviti wang haram.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini pada sesi pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.
“Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi status representasi oleh pihak responden (ahli keluarga Abdul Azeez). Dukacita dimaklumkan reprentasi ditolak dan satu surat maklumat telah dihantar kepada peguam responden pada 4 Februari lalu,” kata Nik Haslinie.
Pada 3 Januari lalu, mahkamah dimaklumkan ahli keluarga Abdul Azeez mengemukakan representasi kepada AGC pada 16 November 2021.
Bagaimanapun, kandungan representasi tersebut tidak didedahkan kepada pihak media.
Dalam prosiding sama, peguam Datuk Prem Ramachandran yang mewakili responden memaklumkan, pihaknya telah memfailkan afidavit pada Jumaat lalu berhubung sumber `dana yang sah’.
Nik Haslinie kemudian berkata, oleh kerana pihaknya telah menerima afidavit-afidavit itu, pendakwaan sedang meneliti dan mengkaji serta perlu menjawab afidavit-afidavit yang dikemukakan.
Justeru Hakim Muhammad Jamil mengarahkan pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis pada pertengahan bulan Mei ini dan menetapkan 21 Jun ini bagi pendengaran kes.
Dalam pada itu, peguam Choy Kay Chun yang bertindak bagi pihak ketiga selaku penuntut iaitu Maybank Islamic Berhad, tidak mengemukakan sebarang bantahan.
Responden-responden terdiri daripada isteri Abdul Azeez iaitu Datin Seri Khadijah Mohd. Noor serta empat anak mereka termasuk Azeera Management Consultants (M) Sdn. Bhd.
Keempat-empatnya ialah Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa dan Khaleeda Azeera.
Berdasarkan senarai kausa dalam laman sesawang e-pemfailan, kerajaan telah memulakan prosiding untuk melucut hak wang itu daripada akaun peribadi TH milik isteri Abdul Azeez dan empat anak mereka dan satu unit pejabat milik Azeera Management Consultants (M) Sdn. Bhd.
Permohonan melucut hak itu difailkan pihak pendakwaan terhadap ahli keluarga Abdul Azeez pada September 2019 manakala mereka memfailkan permohonan untuk penangguhan. -UTUSAN ONLINE