Koroner ada bidang kuasa mulakan prosiding hina mahkamah terhadap Tommy - Utusan Malaysia

Koroner ada bidang kuasa mulakan prosiding hina mahkamah terhadap Tommy

tommy thomas
TOMMY THOMAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Koroner mempunyai bidang kuasa memulakan prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas atas dakwaan menghina mahkamah ekoran afidavit yang difailkan berhubung punca kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Mahkamah Rayuan hari ini berpendapat, kuasa koroner tidak terhad kepada memulakan prosiding komital di hadapannya (contempt in the face of the court), malah turut melibatkan insiden yang berlaku di luar kamar mahkamah.

Demikian keputusan sebulat suara panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Suraya Othman yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hashim Hamzah selepas menolak rayuan Tommy.

Ini bermakna, Mahkamah Koroner mempunyai bidang kuasa mendengar dan memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap mana-mana pihak tidak terhad kepada insiden di hadapan beliau, malah di luar kamar mahkamah.

Hakim Suraya ketika membacakan penghakimannya berkata, hakim yang bertindak sebagai koroner mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding komital sebagaimana tertakluk dalam Perenggan 26, Jadual Ketiga, Akta Mahkamah Rendah 1948.

Oleh yang demikian, beliau berpuas hati bahawa persoalan undang-undang yang dibangkitkan dalam rayuan itu sama ada hakim Mahkamah Sesyen yang bertindak sebagai koroner mempunyai bidang kuasa untuk mendengar prosiding komital, tidak mempunyai sebarang merit.

Panel itu tidak bersetuju dengan penghujahan pasukan pembelaan yang mewakili Tommy bahawa prosiding menghina mahkamah hanya boleh dimulakan jika berlaku dalam kamar bicara dengan mengambil kira kes undang-undang dari luar negara.

Hakim Suraya turut berkata, hakim Mahkamah Sesyen yang bertindak sebagai koroner mengendalikan inkues di bawah Kanun Prosedur Jenayah bagi menyiasat kematian, melaksanakannya di bawah mahkamah undang-undang.

Pada hemat panel itu, oleh kerana koroner menjalankan inkues sebagai mahkamah undang-undang, beliau mempunyai bidang kuasa untuk menghukum mana-mana pihak kerana menghina mahkamah.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan pendengaran dua rayuan bapa Muhammad Adib, Mohd. Kassim Abdul Hamid terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner membenarkannya memulakan prosiding komital terhadap Tommy.

Peguam Datuk S. Ambiga yang mewakili Tommy memohon rayuan itu ditangguhkan bagi membolehkan pihaknya memfailkan permohonan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, seorang lagi peguam, Zainur Zakaria turut memaklumkan, pihaknya bercadang untuk memohon agar keputusan tersebut disemak oleh panel berlainan Mahkamah Rayuan andai kata permohonan kebenaran merayu ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mohd. Kassim tidak mengemukakan bantahan terhadap penangguhan.

Dalam permohonan komital, Mohd Kassim, 68, mendakwa Tommy membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 3 April 2019 berhubung punca kematian anaknya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara akibat kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

ends.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya