Keputusan rayuan Abdul Azeez batal tuduhan 23 Februari

Keputusan rayuan Abdul Azeez batal tuduhan 23 Februari

ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya, diputuskan pada 23 Februari ini.

Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim sewaktu sebutan perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi yang turut disahkan oleh peguam bela, Amer Hamzah Arshad mewakili Abdul Azeez.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Mac ini untuk sebutan semula kes itu bagi mengetahui status keputusan rayuan tersebut.

Pada 12 Mac 2021, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Abdul Azeez untuk membatalkan kesemua pertuduhan itu atas alasan permohonan tersebut tidak mempunyai sebarang merit yang membolehkan mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk berbuat demikian.

Pada 12 Mac lalu, Mahkamah Tinggi berpuas hati ketiga-tiga alasan yang dikemukakan oleh Abdul Azeez untuk membatalkan semua pertuduhan terhadapnya, tidak mempunyai merit yang mewajarkan mahkamah menggunakan bidang kuasa sedia ada untuk membenarkan permohonannya.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakimannya menyatakan, semua pertuduhan telah dirangka dengan sempurna dan menjadikan satu tindakan pramatang pada peringkat ini jika mahkamah memutuskan semua pertuduhan yang dikemukakan adalah tidak berasas.

Pada 12 April 2021, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ahli Parlimen Baling itu untuk menangguhkan perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen sehingga tamat rayuan bagi keputusan mahkamah terdahulu.

Seramai tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula 19 Ogos 2020.

Abdul Azeez dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas 13 pertuduhan berkaitan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak iaitu melibatkan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan penggubahan wang haram.

Projek tersebut melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

Pertuduhan rasuah itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Disember 2010, dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya