KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan akan memanggil 19 saksi dalam perbicaraan kes bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab. Samad yang didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Afif Ali kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini semasa pengurusan kes kali pertama di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.
Tarikh-tarikh perbicaraan ditetapkan pada 26 hingga 28 Julai, 8 hingga 11 Ogos dan 5 hingga 8 September serta 3 hingga 6 Oktober ini.
Mohd. Afif memaklumkan, kes itu yang sebelum ini disebut di Mahkamah Tinggi berlainan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh, dipindahkan di hadapan Hakim Muhammad Jamil.
Turut hadir dalam prosiding hari ini, peguam Syahrul Syazwan Salehin mewakili Shahrir yang tidak mengemukakan sebarang bantahan.
Hakim Muhammad Jamil berkata, tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan oleh hakim terdahulu terpaksa dijadualkan semula kerana mahkamah mempunyai beberapa kes lain yang telah ditetapkan untuk perbicaraan.
Mengikut pertuduhan Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Shahrir didakwa tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. -UTUSAN ONLINE