PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini sebulat suara menolak rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib agar samannya terhadap sebuah bank dan bekas pegawai entiti berkenaan yang didakwa cuai ketika mengendalikan akaunnya diperdengarkan semula.
Panel tiga hakim, Hakim Datuk Yaacob Md. Sam, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dalam penghakiman mereka turut bersetuju dengan dapatan mahkamah terdahulu bahawa tindakan saman yang difailkan Ahli Parlimen Pekan itu adalah satu `serangan kolateral’.
Pada 9 Disember 2019, Najib memfailkan saman tersebut terhadap AmBank, AMMB Holdings Berhad (AMMB Holdings) dan Joanna Yu Ging Ping atas alasan kesemua defendan tersebut telah melakukan kecuaian ketika mengendalikan akaun banknya dengan mendedahkannya kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
Ging Ping juga merupakan saksi pendakwaan ke-54 dalam perbicaraan kes Najib berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.
“Kami bersetuju dengan hujah responden (Ging Ping dan AmBank) bahawa saman difailkan perayu (Najib) bukan untuk mendapatkan ganti rugi, tetapi, satu serangan kolateral atas keterangan yang diberikan Ging Ping dalam perbicaraan kes SRC International.
“Kami juga mengambil kira penghakiman Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dalam kes SRC International bahawa perayu sebenarnya mempunyai pengetahuan mengenai cara akaun peribadinya dikendalikan,”ujar Hakim Yaacob.
Panel terbabit ketika membaca penghakiman ringkas tersebut menyatakan, pelaksanaan keadilan dalam undang-undang akan menjadi huru hara sekiranya seseorang itu disabitkan kesalahan di mahkamah jenayah tetapi dilepaskan dalam kes saman di mahkamah sivil.
“Secara ringkas, kami tidak menemui sebarang kekhilafan oleh Mahkamah Tinggi apabila memutuskan untuk membenarkan permohonan kesemua responden untuk membatalkan saman perayu yang membolehkan mahkamah ini campur tangan.
“Oleh itu, kami dapati bahawa rayuan perayu tidak mempunyai sebarang merit. Sehubungan itu, rayuan perayu ditolak dengan kos,” kata Yaacob.
Mahkamah kemudian memerintahkan Najib membayar kos bagi Ambank, AMMB Holdings Bhd. (AMMB Holdings) masing-masing RM40,000 manakala terhadap bekas bekas Pegawai Perhubungan bank itu, Joanna Yu Ging Ping sebanyak RM35,000.
Pada 28 September 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Khadijah Idris membenarkan permohonan tiga defendan tersebut untuk membatalkan saman itu selepas mendapati saman itu tidak boleh dipertahan, melampau, menyakitkan hati, remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah.
Tambah hakim itu, tindakan Najib memfailkan saman tersebut bukanlah untuk mendapatkan ganti rugi, tetapi, sebaliknya bertujuan untuk mengukuhkan pembelaannya dalam perbicaraan kes SRC International.
Najib telah disabitkan dengan kesalahan tersebut oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan dihukum penjara 12 tahun serta denda RM210 juta. Beliau kini dibebaskan sementara menunggu rayuannya akhirnya di Mahkamah Persekutuan. -UTUSAN ONLINE