KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor mendakwa bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram bukanlah orang yang sesuai dan wajar (fit and proper) untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes pengubahan wang haram dan elak bayar cukai yang dihadapi wanita terbabit.
Oleh itu tindakan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun melantik Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) adalah melangkaui kuasanya (ultra vires).
Jelas isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ini kerana berdasarkan surat perlantikan bertarikh 8 Julai 2020 jelas menunjukkan Sri Ram terlibat dalam penyiasatan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Adalah jelas Tan Sri Idrus Harun telah menjangkau kuasanya apabila melantik Sri Ram sebagai TPR.
“Pelantikan Sri Ram mengikut Seksyen 379 dan 376(3) Kanun Tatacara Jenayah juga adalah bercanggah sekaligus membatalkan pelantikan Sri Ram sebagai TPR.
“Sekiranya mahkamah berpendapat pelantikan tersebut dibuat secara teratur, Sri Ram bukanlah seorang yang `fit and proper’ untuk menjalankan pendakwaan kerana berdasarkan surat bertarikh 8 Julai 2020 jelas menunjukkan Sri Ram terlibat dalam proses siasatan,”kata Rosmah dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Selain itu, bekas Wanita Pertama Malaysia itu juga menyatakan surat pelantikan sebagai `Senior Deputy Public Prosecutor’ bertarikh 21 Mei 2021 mengikut Seksyen 379 dan 376(3) Kanun Tatacara Jenayah juga tidak melibatkan kes pengubahan wang haram itu.
“Saya sesungguhnya percaya bahawa lanjutan daripada semua yang dinyatakan diatas maka ia adalah jelas bahawa Sri Ram harus disingkirkan sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes ini (kes pengubahan wang haram)”katanya.
Pada 12 Januari lalu, Rosmah turut memfailkan permohonan untuk menggugurkan seorang hakim Mahkamah Tinggi daripada mendengar perbicaraan kes di bawah pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya.
Turut difailkan ialah permohonan agar kesemua prosiding dalam kes terlibat digantung sehingga rayuan berhubung keputusan Hakim Mohamed Zaini menolak permohonannya supaya beliau menarik diri, diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Kesemua permohonan tersebut ditetapkan untuk pendengaran pada 3 Februari ini. -UTUSAN ONLINE