KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd. diarahkan memfailkan permohonan untuk menerima masuk Queen’s Counsel (QC) sebagai peguam bela bekas Perdana Menteri itu pada 20 Mei ini.
Pendengaran permohonan itu pula dijangka akan dibuat penghujung Jun ini.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul ketika dihubungi media selepas pengurusan kes tersebut yang dijalankan secara dalam talian di sini hari ini.
“Pendengaran permohonan untuk menerima masuk dijangka akan dibuat di antara 20 dan 24 Jun ini. Tarikh pendengaran permohonan rayuan utama pula akan ditetapkan pada pengurusan kes pada 25 Februari ini,’katanya.
Selain itu, Mohd. Ashrof memaklumkan bagi rayuan membabitkan kemasukan bukti baharu, mahkamah mengarahkan pihak-pihak untuk memfailkan hujahan pada 28 Februari ini.
Pendengaran rayuan berhubung bukti baharu itu akan didengar pada 15 dan 16 Mac ini.
Selain Mohd. Ashrof, turut hadir pada prosiding tersebut ialah Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk V. Sithambaram bagi pihak pendakwaan yang dinamakan sebagai responden manakala Najib diwakili selaku perayu diwakili peguam bela, Nur Syahirah Hanafiah.
Prosiding dijalankan di hadapan Timbalan-Timbalan Pendaftar, Siti Hajar Mustaffa dan Wan Fatimah Zaharah Wan Yussof.
Pada 25 Januari lalu, peguam bela utama Ahli Parlimen Pekan itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sepucuk surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon agar Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.
Menurut Muhammad Shafee permohonan tersebut dibuat atas dakwaan QC mempunyai lebih berpengalaman untuk mengendali rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan sangat kompleks dan melibatkan isu-isu perundangan yang baru.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Pada 8 Disember 2020, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib.
Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana tersebut atas alasan tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima.
Bukti baharu yang cuba dimasukkan dalam rayuan tersebut membabitkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International. -UTUSAN ONLINE